SHAH ALAM - Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap beberapa individu yang didakwa mengedar kitab Bible di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang Jumaat lalu.

Bekas Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Tan Sri Sheikh Ghazali Abdul Rahman berkata, Enakmen Kawalan Agama Bukan Islam penting untuk  diwujudkan kerana tiada sebarang peruntukan digariskan di negeri tersebut bagi menghalang perbuatan berkenaan.

Katanya, JHEAIPP boleh siasat sahaja, tindakan tidak boleh dibuat.

"Atas peruntukan undang-undang apa hendak digunakan bagi mendakwa mereka (yang didakwa mengedar Bible) itu?.

“Sebab itu, Enakmen Kawalan Agama Bukan Islam ini penting diwujudkan di semua ne­geri kerana ingin memastikan tidak berlaku perbuatan seperti ini terhadap orang Islam,” katanya petik laporan Utusan Malaysia, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Edar Bible: 29 individu dirakam keterangan]

Perkembangan terbaharu berhubung kes itu menyaksikan polis merekodkan keterangan 29 individu termasuk enam suspek yang dilaporkan mengedar kitab Bible berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil soal siasat yang dilakukan terhadap kesemua suspek menganggap pengedaran kitab itu tidak menjadi kesalahan kerana sebelum ini mereka pernah membuat edaran di sekitar kawasan hotel, klinik dan hospital.

Dalam pada itu, Pakar Perlembagaan, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, enakmen tersebut amat penting kerana perkara yang berkaitan dengan penyebaran agama merupakan isu yang cukup sensitif di negara ini selain kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.

Atas sebab itu katanya, kerajaan Persekutuan perlu membawa usul tersebut ke Parlimen dengan segera kerana Wilayah Persekutuan bukan sebuah negeri dan tidak mempunyai Dun.

Jelas Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, tiga kerajaan negeri iaitu Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak pula bertanggungjawab melakukan tindakan yang sama di Dun masing-masing.

“Gesaan supaya menggubal enakmen undang-undang ini sebenarnya telah melepasi masa terlalu lama, kita bimbang perbuatan yang sama seperti di Pulau Pinang itu berlaku lagi sehingga tidak mampu dikawal,” katanya.

Sebelum ini tular di laman sosial mengenai tindakan beberapa individu yang dikesan mengedar kitab bible di hadapan sebuah sekolah di Bukit Mertajam.

Aktiviti pengedaran kitab itu dilaporkan berlaku pada 2 November di antara jam 12.10 hingga 12.30 tengah hari semasa tamat sesi persekolahan.

Difahamkan lebih 200 buku kitab 'New Testament' telah diedarkan kepada hampir 200 orang pelajar termasuk yang beragama Islam di sekolah berkenaan.