KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) meminta orang ramai supaya berwaspada terhadap individu atau syarikat yang menjalankan aktiviti pemberian pinjaman wang haram menggunakan lesen palsu yang kononya dikeluarkan oleh bank pusat itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, BNM berkata, pihak yang terlibat menyasarkan untuk memperdaya orang ramai supaya mempercayai mereka sebagai pemberi pinjaman wang berlesen dan mengaburi orang ramai supaya membuat pembayaran awal untuk pelbagai tujuan berkaitan pinjaman, seperti perbelanjaan pentadbiran, duti setem dan yuran guaman.

“BNM tidak mengeluarkan lesen pemberian pinjaman wang. Perniagaan pemberian pinjaman wang dikawal selia mengikut Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan ditadbir oleh Kementreian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Kegiatan penipuan ini dijalankan menerusi laman web, media sosial, panggilan telefon, SMS, e-mel atau dalam bentuk komunikasi lain,” kata BNM.

Bank pusat menggesa mangsa penipuan kewangan seperti ini supaya membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan, dan mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap mana-mana pihak yang mendakwa mereka diberikan lesen oleh BNM.

Orang ramai juga dinasiatkan supaya merujuk senarai institusi yang dilesenkan atau diluluskan mengikut undang-undang yang ditadbir oleh bank negara, dengan melayari http://www.bnm.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi perniagaan atau pelaburan.- Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pejabat Suruhanjaya Insurans Thailand menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kerjasama untuk pembangunan sektor insurans yang memberi manfaat bersama di kedua-dua negara.
  • KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) sedang berusaha untuk menjadikan mata wang digital sebagai medium yang lebih telus di Malaysia dengan pengeluaran draf cadangan bagi maklum balas orang ramai, mengenai penggunaan obligasi pelaporan bagi perniagaan pertukaran mata wang digital sebagai institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
  • KUALA LUMPUR - Malaysia perlu mendukung kepastian hukum bagi penyelesaian pertikaian yang berkesan supaya ia terus kekal menjadi hab kewangan Islam yang utama, kata Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Abdul Rasheed Ghaffour.
  • SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) mengalu-alukan pembentukan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) menyiasat secara bebas kerugian urus niaga mata wang asing (forex), sekali gus menyelesaikan kes lebih 25 tahun lalu.