LONDON - Wanita Islam perlu tampil ke hadapan dengan berusaha meningkatkan  kemahiran dan potensi, memanfaatkan bakat dan keupayaan keusahawanan agar dapat melihat kemajuan  jangka panjang yang tulen dalam masyarakat Islam.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, untuk mencapai matlamat ini, kaum Adam hendaklah mengubah sikap dan lebih menyokong kepada kaum Hawa.

Beliau berkata, lelaki Islam perlu membuang sikap cauvinis yang diwarisi dalam beberapa budaya tempatan.

“Kita tidak mungkin dapat capai keadilan sosial dengan hanya bersandarkan terjemahan yang condong dan tidak adil. Maruah manusia, kesejahteraan dan peningkatan taraf masyarakat tanpa mengira jantina, kaum, taraf atau etnik  dalam masyarakat yang tergolong aman dan bertoleransi adalah paling penting.

“Tetapi semua ini hendaklah termasuk kaum lelaki,” katanya pada ucaptama beliau pada Forum Kepimpinan Islam (WMLF) di Lambeth Palace di selatan London, pagi Khamis.

Dr Wan Azizah, yang tiba di sini semalam untuk lawatan rasmi selama tiga hari ke United Kingdom, bersama para pemimpin Islam yang lain dari pelbagai rantau dunia ini bagi membincangkan isu penting, mendepani cabaran dan menyediakan penyelesaian inovatif untuk menyingkir persatuan-persatuan yang wujud antara pengganas dan Islam.

Beliau berkata kerajaan boleh mewujudkan dasar dan program untuk menyokong SDGs, namun perubahan peribadi di peringkat pemimpin individu yang boleh menetapkan pencapaian SDGs

“Untuk memulakan SDGs ia perlu dimulakan dengan mempunyai pemimpin yang tepat yang memiliki rasa tanggungjawab peribadi bagi mencapai tujuan itu. Ia mengenai menyalurkan ‘rahmah’ dan seterusnya melihat tujuan kepada semua 17 perkara dalam SDGs.

“Peringkat tertinggi pembangunan peribadi ialah mencapai ehsan,” kata Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat.

Bagaimanapun, beliau berkata masyarakat Islam masih dibendung oleh banyak halangan kerana   pengamal ajaran Islam dalam kalangan ramai Islam terus dibentuk oleh tradisi dan budaya tempatan.

“Intoleransi dan pemikiran yang sempit masih menghantui pertumbuhan intelektual kita,” kata wanita pertama memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri di Malaysia, yang dilantik dalam Kabinet pada Mei.

Beliau juga berkongsi beberapa pengalaman pentadbiran baru Malaysia dalam merangsang wanita dan remaja perempuan dalam mencapai sasaran SDGs.

Beliau berkata, antaranya inisiatif i-SURI bagi mengukuhkan keselamatan sosial kepada surirumah,  MySMELady yang diwujudkan khas kepada usahawan wanita dan penubuhan Child Friendly Cities.

Terdahulu, setibanya di Lambeth Palace, Dr Wan Azizah disambut oleh Pengerusi WMLF, Datuk Seri Mohamed Iqbal Rawther, Presiden Institut Strategi Antarabangsa (ISI) Tan Sri Michael Yeoh, Setiausaha Agung WMLF Dr Husna Ahmad Obe dan Prof Jocelyne Cesari of Cadbury Centre for Public Understanding of Religion.

Yang turut hadir ialah Setiausaha bagi Inter Religious Affairs to the Archbishop of Canterbury Reverend Dr Richard Sudworth dan WMLF European Patron Lord Sheikh of Cornhill dan Pengerusi Dalla al Baraka Group Sheikh Saleh Abdullah Kamel.

Forum dua hari itu bertemakan ‘The Role of Muslim Leadership in Rebuilding Islam’s Global Image’, bertujuan menangani masalah dihadapi oleh dunia Islam seperti perang saudara yang menyebabkan  penghijrahan secara besar-besaran, pembunuhan kejam, tindakan pengganas dan ekstrimis, dan kewujudan Islamophobia.

Ia memberi tumpuan kepada empat aspek kritikal iaitu mewujudkan naratif baru mengenai Islam; mengukuhkan kepimpinan Islam di semua peringkat sosio-ekonomi dan lanskap politik, kedudukan wanita dan peranan wanita dalam membentuk semula naratif Islam yang baru; dan mewujudkan platform bagi pemimpin Islam menawarkan penyelesaian kepada masalah semasa seperti pendidikan belia, keusahawanan dan pembangunan mampan. - Bernama