KUALA LUMPUR - Wakil rakyat PH menegur kerajaan berhubung beberapa isu yang dilihat tidak menyebelahi rakyat termasuk projek Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan pelantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) berkata walaupun beliau di kerusi penyokong kerajaan namun beliau menegaskan tidak bersetuju dengan perkara tersebut.

"Walaupun saya dari parti pemerintah tapi ada beberapa perkara saya tak sokong. Misalnya tentang Khazanah, perdana menteri menjadi Pengerusi Lembaga Khazanah dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi (Datuk Seri Mohamed Azmin) sebagai Ahli Lembaga Pengarah.

"Saya rasa bagi Malaysia yang baharu, eloklah GLC ini kita serah kepada golongan profesional yang ada merit, integriti untuk menguruskan badan-badan yang penting ini," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018, hari ini.

Mengulas soal ECRL, Hassan berkata kerajaan perlu mengkaji kos dan memastikan projek itu berjalan demi rakyat di Pantai Timur.

"Memang disebut projek ini mahal berpuluh bilion tapi bagi saya, kalau itu (kos) masalahnya, kita kaji balik. Kos itu mungkin boleh ditimbang semula supaya tidak semahal itu tapi janganlah dibatalkan.

"Rakyat di Pantai Timur perlukan pembangunan dan infrastruktur. Keretapi ini ada di Pantai Barat, kenapa kita mesti nafikan di Pantai Timur?

"Mungkin kebetulan sahaja tiga negeri ini-Kelantan, Terengganu dan Pahang tidak diwakili oleh PH tapi kita mesti ingat bahawa mereka mendapat mandat daripada rakyat. Jadi saya berharap jangan dibatalkan tapi kaji semula, lambat sedikit tak apa, buat secara berperingkat. Ini negara kita bersama," katanya yang menerima ucapan terima kasih daripada beberapa wakil rakyat pembangkang.

[ARTIKEL BERKAITAN :  ECRL diteruskan namun bersyarat]

Dalam pada itu beliau turut menyatakan tidak setuju terhadap rancangan memulakan semula projek kereta nasional.

[ARTIKEL BERKAITAN : Malaysia bakal ada kereta nasional baharu: Tun M]

Katanya, kerajaan sepatutnya mempercepatkan projek keretapi Gemas-Johor Bahru serta projek Sistem Transit Rapid (RTS) Malaysia-Singapura bagi menangani masalah kesesakan di negeri itu.

"Saya juga tidak bersetuju...ada ura-ura cadangan untuk memulakan semula projek kereta nasional yang baharu. Yang lebih baik saya lihat, jarang disebut tentang landasan keretapi berkembar elektrik dari Gemas ke Johor Bahru. Saya rasa projek ini perlu dipercepatkan dan tidaklah semahal HSR.

"Saya nuga harap Kabinet percepatkan keretapi RTS antara Johor Bahru-Singapura yang memudahkan rakyat kedua negara ulang alik setiap hari," katanya.