MELAKA - Umno Melaka telah memfailkan petisyen pilihan raya di Mahkamah Tinggi di sini, Isnin lepas bagi mencabar keputusan PRU14 di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) negeri itu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Melaka, Datuk Seri Idris Haron berkata dua kerusi Dun itu ialah Telok Mas dan Rembia.

“Kita dapati calon (Telok Mas) tidak meletak jawatan (sebagai pensyarah) pada hari penamaan calon dan ia bertentangan dengan dengan peraturan pilihan raya.

“Satu lagi (Rembia) biar perkara itu dilakukan (di peguam dahulu, saya difahamkan ada perkara yang akan dibangkitkan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Puteri Bahagian Tangga Batu di Pantai Puteri di sini, hari ini.

Pada PRU14, calon PKR-PPBM Noor Effandi Ahmad menang kerusi Dun Telok Mas dengan majoriti 1,288 undi dan calon PKR Muhammad Jailani Khamis menang kerusi Dun Rembia dengan majoriti 1,814 undi. - Bernama