SHAH ALAM - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) memberikan amaran untuk PTPTN menarik atau meminda polisi skim Potongan Gaji Berjadual (PGB) ini atau kerajaan bakal berdepan amukan anak muda dari seluruh negeri dan universiti.

Presidennya, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, PGB yang diumumkan oleh Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan adalah sangat zalim dan menekan hidup graduan khususnya kepada mereka yang datang daripada keluarga miskin.

Menurutnya,  kerajaan dan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik sepatutnya memberikan fokus kepada pembangunan polisi yang memberdaya ekonomi anak muda dan bukannya merompak gaji anak muda.

"Wan Saiful dan Maszlee sedang menikmati gaji yang besar pada hari ini sepatutnya berkerja untuk mencipta satu mekanisme yang mampan, membantu anak muda mempunyai ekonomi yang stabil di samping memastikan kestabilan kewangan PTPTN terjamin.

"Namun, apa yang berlaku adalah perkara yang sangat menyedihkan iaitu mereka mengambil jalan mudah dengan memeras ugut anak muda serta peminajam-peminjam PTPTN dengan kuasa yang mereka ada," katanya dalam satu kenyataan media kepada Sinar Harian.

Katanya, majoriti graduan masih berada di bawah paras pendapatan yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

"Menurut laporan BNM 2017, graduan bujang sepatutnya mempunyai gaji sebanyak RM2,700 sebulan, graduan yang berkahwin tanpa anak mendapat gaji sebanyak RM4,500 sebulan dan graduan yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak mempunyai pendapatan sekurang-kurangnya RM6,500 sebulan.

"Data kajian yang dilakukan oleh Kajian Pengesanan Mahasiswa (KPT) 2016, sebanyak 89.1 peratus daripada mahasiswa graduan diploma yang berkerja mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM2,000 dan ke bawah dan sebanyak 48 peratus mahasiswa graduan ijazah pertama mempunyai pendapatan RM2,000 dan ke bawah

"Kerajaan sepatutnya tidak malas untuk membuat kajian dan berdialog sebelum memperkenalkan polisi yang tidak munasabah, menekan graduan dan menzalimi peminjam-peminjam PTPTN," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Peminjam PTPTN bayar RM40 mulai 1 Januari 2019]

[ARTIKEL BERKAITAN: PTPTN: Anwar hantar nota segera kepada PM]