JOHOR BAHRU – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berharap Malaysia kembali pulih daripada menjadi sebuah negara yang membudayakan rasuah.  

Menurutnya, negara ini menjadi tempat orang kaya semakin kaya, manakala orang miskin semakin miskin.

Katanya, beliau kini juga berada di negara yang mana media melindungi rasuah dan menjadikan orang tidak bersalah sebagai mangsa menjual cerita.

“Rakyat tidak lagi menilai dengan fakta tetapi menghakimi berdasarkan persepsi tentang apa seseorang memakai atau katakan.

“Individu yang hipokrit pula dipuji sebagai hero manakala yang memberi sumbangan dan mereka yang berdedikasi kepada yang baik diabaikan dan dianggap sebagai penjahat,” katanya sebagaimana dipetik di Facebook rasmi Johor Southern Tigers (JST).

Beliau berkata, Malaysia juga kini menjadi tempat ahli politiknya menjadi selebriti dan ahli sukan.

“Seseorang yang tidak boleh menunggang kuda atau bermain polo dipilih mewakili negara manakala individu yang tak menjalani latihan ketenteraan pula boleh menjadi seorang jeneral.

“Pemimpin pula berpura-pura dengan apa yang mereka pakai, sebaliknya memaksa kerajaan menggunakan wang rakyat bagi membayar jet peribadi,” katanya.

Tunku Ismail juga berkata, negara ini dipenuhi individu yang mahu menjadi ahli politik kerana kepentingan peribadi namun masih ada segelintir yang sanggup berkorban demi negara.

“Janganlah kau risau kerana masih ada segelintir yang sanggup berkorban demi generasi akan datang dan akan mengubah sesuatu dari dalam.  Saya akan sentiasa berdoa yang terbaik untuk anda dan saya akan sentiasa berdoa untuk kestabilan Malaysia,” katanya.

Entri bertajuk ‘Saya akan sentiasa berdoa untuk kestabilan anda, Malaysia’  itu dikongsi kira-kira 5,000 pemilik akaun lain.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menempelak ahli politik yang dilihat seperti hendak menjadi selebriti dan ahli sukan.
  • PASIR GUDANG - Bagaikan mimpi menjadi kenyataan buat seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit kulit genetik apabila hasratnya bertemu idolanya Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tercapai selepas dikunjungi keluarga Diraja berkenaan kira-kira jam 11 pagi semalam.
  • SHAH ALAM - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjelaskan bahawa beliau telah menyuarakan kebimbangannya terhadap situasi politik negara secara keseluruhan khususnya melibatkan negeri Johor dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.
  • KUALA LUMPUR - Tunku Mahkota Johor, DYMM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhasrat menyampaikan pesanan rakyat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.