Besut - Bagi ibu bapa yang masih tercari-cari pusat tahfiz terbaik untuk menghantar anak mereka belajar secara sambilan hafaz al-Quran, Pusat Pengajian Pra-Tahfiz Darul Hamza terletak di simpang tiga Jalan Padang Tapong, di sini adalah pilihan paling tepat.

Lebih menarik, pusat menawarkan pengajaran Pra-Tahfiz ini diselia oleh tiga saudara sepupu yang dua daripada mereka adalah al-Hafiz.

Mudir Darul Hamza, Ustaz Abdul Muhaimin Mohd Farid Al-Hafiz berkata, pusat diusahakan bersama dua sepupunya bakal beroperasi 12 Februari depan di sebuah bangunan dua tingkat yang memiliki pelbagai kemudahan lengkap.

Menurutnya, bangunan diubah suai dari sekolah rendah agama rakyat yang terbengkalai sejak 2004 akan memberi peluang kepada ibu bapa menghantar anak mereka seawal usia 9 hingga 12 tahun untuk mengikuti Program Pra-Tahfiz.

“Kanak-kanak boleh mengikuti Program Pra-Tahfiz meliputi teknik hafazan al-Quran, kaedah pengekalan hafazan dan adab serta akhlak menghafaz al-Quran.

“Lebih menarik kerana kanak-kanak menyertai program Pra-Tahfiz juga akan mengikuti subjek Fardu Ain seperti pelajaran hadis, sirah, tajwid, tauhid, fekah, akhlak, doa harian, jawi dan asas bahasa Arab,” katanya.

Abdul Muhaimin berkata, lebih menarik kadar bayaran bulanan, bagi kedua-dua program berlangsung sebanyak lima kali seminggu itu amat rendah dan mampu dibiayai oleh semua peringkat golongan termasuk berpendapatan rendah.

Menurutnya, Darul Hamza bukan berorientasikan perniagaan dan keuntungan, sebaliknya usaha fisabilillah dan bayaran dikenakan hanya untuk menampung kos uliliti dan pengurusan.

“Matlamat kami supaya seramai mungkin umat Islam menjadi hafiz al-Quran seterusnya melahirkan insan yang memiliki budi pekerti mulia serta sahsiah yang baik,” katanya.

Katanya, kerja mengubahsuai dan membaik pulih bangunan itu bermula akhir tahun lalu dan akan beroperasi minggu depan. Bangunan ini memiliki kemudahan enam kelas bersaiz besar dan selesa, sebuah dewan besar, surau, kantin dan tandas.

Dibimbing oleh tenaga pengajar yang bertauliah.

Sementara itu, Pengurus Hal Ehwal Akedemik yang juga sepupu Muhaimin, Ustaz Muhammaf Ariffin Al-Hafiz berkata, kelas dari Ahad hingga Khamis dengan tiga sesi program diadakan untuk pelajar iaitu pada jam 2.30 hingga 4.15 petang adalah program belajar Iqrak yang terbuka untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun.

Menurutnya, pada jam 4.30 hingga 6.30 petang pula kelas bacaan al-Quran dan Fardu Ain untuk kanak-kanak berusia seawal usia 7 tahun ke atas.

Manakala program Pra-Tahfiz dan Fardu Ain bermula jam 6.30 petang hingga 9 malam setiap hari dan pelajar akan menunaikan solat berjemaah di surau disediakan di pusat itu.

Menurut seorang lagi sepupu mereka, Izzat Fitri Mohd Nasir yang bertindak sebagai pengurus pusat tersebut berkata, tiga tenaga pengajar bertauliah akan membimbing pelajar pada setiap masa mengikut sukatan yang terbukti berkesan dengan mudah kanak-kanak belajar mahupun menghafal al-Quran.

Ustaz Abdul Muhaimin kini berusia 23 tahun lulusan Mahad Tahfiz Al Bukhari, Bachok mula menghafaz 30 juzuk al-Quran ketika berusia 19 tahun manakala Ustaz Muhammad, 30 tahun, juga lulusan Mahad sama hafaz 30 juzuk al-Quran ketika berusia 21 tahun.

Ibu bapa dan orang ramai yang berminat atau ingin memperoleh maklumat lanjut boleh menghubungi Abdul Muhaimin menerusi talian 017-9566650.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • Besut - Seorang lelaki OKU didapati sesat di kaki Gunung Tebu ketika berkelah bersama ahli keluarganya di Lata Belantan, semalam.
  • Besut - Seorang pemuda bakal berdepan hukuman gantung sampai mati sekiranya didapati bersalah mengedar dadah, selepas dia diberkas di Kampung Pengkalan Teras dekat Kampung Keluang, di sini, kelmarin.
  • KAMPUNG RAJA - – Seorang guru wanita mengalami kerugian kira-kira RM50,000, apabila rumahnya dipecah masuk pencuri ketika dia bersama keluarga sedang tidur di Kampung Tanjung Demong, Jalan Bukit Keluang di sini, semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.