CYBERJAYA - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memberi jaminan tidak akan berlaku sebarang perubahan kepada caj perkhidmatan air atau pembetungan di Johor selepas pengebilan bersepadu dilaksanakan.

Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Mohd Ridhuan Ismail dalam kenyataan hari ini berkata, pengguna tidak perlu bimbang kerana caj perkhidmatan air dan pembetungan tidak berubah tetapi hanya digabungkan ke dalam satu bil yang akan dikeluarkan oleh pihak Ranhill SAJ Sdn Bhd.

"SPAN memberi jaminan bahawa kepentingan pengguna di Johor akan terus terpelihara apabila bil bersepadu perkhidmatan air dan pembetungan dilaksanakan," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Johor tolak laksana pengebilan bersepadu]

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan Antarabangsa dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse baru-baru ini dilaporkan sebagai berkata, kerajaan negeri menolak pelaksanaan pengeluaran bil tunggal antara syarikat air Ranhill SAJ  dan perkhidmatan pembetungan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) sekiranya tidak menyempurnakan syarat ditetapkan kerajaan negeri.

Menurut laporan media, antara syarat yang ditetapkan ialah kaedah pengebilan bersepadu yang dilaksanakan tidak melibatkan kenaikan tarif air dan pembetungan kepada pengguna.

Syarat lain adalah pelaksanaan itu perlu dilaksanakan serentak dengan negeri lain supaya Johor tidak dijadikan sebagai projek perintis untuk mengetahui penerimaan rakyat.

Mohd Ridhuan menjelaskan SPAN bersama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan mendapatkan persetujuan kerajaan negeri lain bagi pelaksanaan inisiatif bil bersepadu tersebut.

Apabila dilaksanakan, katanya kira-kira 330,000 akaun pengguna di Johor akan menerima bil daripada Ranhill SAJ yang menggabungkan caj perkhidmatan air dan pembetungan, manakala pengguna hanya perlu membayar caj akhir tersebut sahaja.

Menurut Mohd Ridhuan caj pembetungan bagi pengguna domestik yang bersambung dengan IWK adalah tetap sama iaitu RM2 sebulan untuk rumah kos rendah atau kuarters kerajaan tertentu, RM3 sebulan untuk rumah kampung dan RM8 sebulan untuk rumah biasa atau kuarters kerajaan.

“Usaha penggabungan bil ini bukan sahaja akan meningkatkan kecekapan tetapi juga akan memberi kesenangan kepada pelanggan dalam membuat bayaran mudah melalui satu bil sahaja,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Ridhuan berkata, kedua-dua syarikat terlibat iaitu Ranhill SAJ dan IWK diarahkan untuk menggerakkan program kesedaran awam bagi menjelaskan mengenai pelaksanaan pengebilan bersepadu itu. - Bernama