SHAH ALAM - Sektor swasta akan mengalami peningkatan kos tambahan sehingga RM20 bilion setahun, sekiranya cuti bersalin 60 hari kepada 90 hari diwajibkan.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, kos itu melibatkan RM10 bilion untuk tambahan 30 hari cuti bersalin, manakala RM10 bilion lagi untuk menampung kos kerja tanpa pengganti yang ditinggalkan pekerja.

[ARTIKEL BERKAITAN: Cuti 90 hari bantu ringan beban ibu bersalin]

Sehubungan itu, katanya, cadangan kerajaan mahu sektor swasta menambah cuti bersalin daripada 60 kepada 90 hari seperti dilaksanakan perkhidmatan awam, membimbangkan majikan.

“Kebimbangan itu berasas kerana penambahan cuti sebanyak 30 hari itu, akan meningkatkan kos syarikat kepada hampir 50 peratus,  satu peningkatan mendadak.

“Pertambahan cuti bersalin ini juga (dari aspek praktikalnya) akan meningkatkan kos tambahan sebanyak RM20 bilion di sektor swasta,” katanya.

Malah, katanya, bagi kesan jangka pendek, dibimbangi majikan mungkin tidak mahu lagi menggaji pekerja wanita kerana cuti bersalin yang terlalu lama.

“Majikan pula terpaksa membayar gaji (kos meningkat) tetapi tiada imbuhan diterima (kerana pekerja bercuti).

“Oleh itu, satu mekanisme pelaksanaan perlu dibincangkan dan diperhalusi bagi membolehkan ia disesuaikan dengan kehendak baru ini ,” katanya.

Shamsuddin berkata, pelaksanaan pemberian cuti bersalin mungkin boleh dilakukan secara berperingkat, seperti pemberian tambahan 10 hari bercuti setiap kali permohonan cuti bersalin.

“Buat masa ini kita tidak pasti bagaimana pelaksanaannya. Adakah ia sama seperti yang diamalkan sektor awam yang mendapat 360 hari cuti bersalin keseluruhannya?

“Di sektor swasta, seorang pekerja wanita boleh mendapat 360 cuti bersalin atau lebih kerana tiada had cuti ditetapkan,” katanya.

Pada pembentangan Bajet 2018 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan cuti bersalin bagi pekerja sektor swasta dinaikkan dari 60 hari kepada 90 hari seperti yang dilaksanakan oleh sektor awam.