KUALA KANGSAR - Dun Perak secara rasmi dibubarkan hari ini selepas Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberikan perkenan dalam Istiadat Menzahirkan Pengumuman Pembubaran Dun Perak Ke-13 di Istana Iskandariah di sini.

Pembubaran Dun Perak dibuat bagi memberi laluan kepada PRU14 selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir telah menghadap baginda untuk memohon perkenan pembubaran Dun berkenaan.

Turut berangkat ke istiadat tersebut ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Istiadat dimulakan dengan bacaan al-Quran sebelum disusuli dengan titah  Sultan Nazrin yang pertama kali dilaksanakan dalam istiadat memberi perkenan pembubaran Dun.

Dalam titah itu, baginda menzahirkan penghargaan kepada Zambry dan ahli exco kerajaan negeri sepanjang mentadbir kerajaan negeri sejak 7 Mei 2013.

“Setelah menimbangkan permohonan tersebut, berpandukan Fasal 2 Perkara 36 Bahagian Pertama Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, beta memberi perkenan Dewan Negeri Perak Ketiga Belas dibubarkan berkuatkuasa hari ini 9 April 2018.

“Beta juga menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri begitu juga kepada semua ahli Dewan Negeri Perak Ketiga Belas yang telah menyempurnakan tugas dan tanggungjawab masing-masing,” titah baginda.