KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memberi jaminan bahawa insiden kebakaran yang berlaku di pejabatnya di cawangan Petaling Jaya hari ini tidak menjejas perkhidmatannya.

KWSP dalam kenyataan hari ini berkata semua sistem KWSP tidak terjejas dan operasi berjalan seperti biasa.

Katanya kejadian kebakaran itu adalah terkawal dengan kerosakan terhad kepada bahagian luaran bangunan serta beberapa kenderaan di sebelah bangunan, dan tiada sebarang kecederaan.

Namun pejabat itu akan ditutup buat sementara waktu.

“Maklumat mereka berada dalam keadaan selamat kerana data server berada di lokasi yang selamat disokong oleh proses backup dan pemulihan bertaraf dunia,” menurut kenyataan itu.

Dalam kejadian kebakaran tengah hari ini, kira-kira 40 peratus daripada bangunan enam tingkat cawangan itu dijilat api.

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata transaksi boleh dijalankan seperti biasa di mana-mana cawangan lain di seluruh negara atau secara dalam talian melalui aplikasi mudah alih i-Akaun.

Katanya siasatan segera akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kejadian kebakaran di bangunan itu serta menilai semula langkah-langkah keselamatan ke atas semua bangunan dan cawangan di seluruh negara.

Berikutan kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Keselamatan yang menyatakan kebakaran berpunca daripada percikan api ke atas lapisan pelindung bangunan, Shahril Ridza  berkata pihaknya ​​​​​prihatin dalam hal itu dan sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Katanya, walaupun  kerosakan hanya terhad kepada bahagian luaran bangunan, namun beliau telah mengarahkan supaya pejabat cawangan itu ditutup sehingga semua tindakan diambil bagi memastikan keselamatan bangunan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-89226000- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Pasaran masih boleh mengharapkan dividen yang baik oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk 2018, berdasarkan suasana peningkatan dalam kadar faedah pada masa ini.
  • KUALA LUMPUR - Pembayaran dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang tertinggi sejak sekian lama tiada kaitan dengan pilihan raya.
  • KUALA LUMPUR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengemukakan permohonan untuk mendapatkan status kedaulatan di Amerika Syarikat (AS) bagi membolehkannya memperolehi lebih banyak peluang pelaburan di negara tersebut, kata Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Shahril​​​​​​​ Ridza Ridzuan.
  • KOTA KINABALU - "Jangan ambil mudah mengenai hal penamaan bagi simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana ia penting untuk masa depan waris kita," demikian nasihat seorang pekerja swasta yang hanya ingin dikenali sebagai Laili.