MAKKAH – ARAB SAUDI. Kali pertama menjejakkan kaki di Tanah Suci Makkah adalah pada 2004 semasa mengerjakan umrah, dan ketika itu Suzila Abdullah berdoa supaya dapat kembali ke kota paling suci ini.

Selepas 13 tahun doanya dimakbulkan, kali ini beliau kembali ke Tanah Suci sebagai ‘dhuyufurrahman’ (tetamu ALLAH) bagi melaksanakan ibadah haji.

Ketika ditemui pemberita di maktab penginapannya di Hotel Zwar Al Bit di sini, Suzila, 53, yang memeluk  Islam pada 1985, bersyukur dapat datang ke Tanah Suci ini bagi mengerjakan rukun Islam kelima itu.

"Sebagai mualaf, bukan senang untuk datang ke sini sebagai tetamu Allah, ia satu langkah yang cukup besar dalam hidup saya.

"Perasaan itu hanya saya sahaja yang tahu sebagai seorang mualaf. Sukar untuk digambarkan dapat  datang ke Tanah Suci ini...syukur alhamdulillah,” katanya yang mula berminat dengan Islam selepas  menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Suzila, yang berasal dari Serian, Sarawak, berkata selepas terpilih untuk melaksanakan ibadah haji, beliau telah membuat persediaan yang cukup rapi dari segi mental dan fizikal supaya dapat melakukan ibadah itu dengan sempurna.

"Cabaran menunaikan ibadah haji ini lebih besar berbanding ketika melakukan umrah,” katanya.

Sementara itu, Mustafa Kamal Abdullah, 64, terharu kerana terpilih menjadi tetamu Allah bagi mengerjakan haji dan peluang keemasan itu perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menggandakan ibadah di Tanah Suci ini.

"Saya cukup terharu dipilih oleh Tabung Haji untuk melaksanakan ibadah haji selepas 10 tahun mendaftar. Sudah tentu saya mengharapkan ganjaran daripada Allah SWT untuk mendapatkan haji mabrur,” katanya yang memeluk Islam pada akhir 70-an.

Justeru, Mustafa Kamal yang ditemani isterinya Asmah Jaman, 56, bertekad melakukan ibadah  bersungguh-sungguh di Tanah Suci Makkah bagi mencapai matlamatnya itu.

"Rakan saya, Ramli Hussin banyak membimbing untuk mendalami Islam, sehingga sekarang dan saya mahu menjadi seorang Islam sejati,” kata bekas guru besar Sekolah Kebangsaan Batu Tellingai, yang terletak di daerah Subis, Bekenu, Sarawak. – Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MAKKAH - ARAB SAUDI. Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia yang diberikan kemudahan dalam program pra-pelepasan jemaah haji, amat berpuas hati dengan perkhidmatan disediakan kerajaan Arab Saudi itu, dan berharap inovasi berkenaan dapat diteruskan pada masa akan datang.
  • MAKKAH - Malaysia menghargai peng­iktirafan kerajaan Arab Saudi yang memilih Malaysia sebagai negara pertama di dunia dalam melaksanakan program prapelepasan jemaah haji dan berharap inovasi itu dapat diteruskan pada musim haji akan datang.
  • MAKKAH - ARAB SAUDI. Dalam tempoh tidak sampai seminggu sebelum jemaah haji dari seluruh dunia bergerak untuk Hari Wukuf, pelbagai persiapan dibuat termasuk oleh jemaah Malaysia bagi memastikan mereka dapat melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.
  • MAKKAH - Lembaga Tabung Haji (TH) meminta jemaah haji Malaysia dan rakyat di tanah air supaya tidak mempercayai mesej yang tular di media sosial sejak beberapa hari lepas, berhubung tarikh penetapan Hari Wukuf yang kononnya pada Jumaat, 1 September.
  • MAKKAH - ARAB SAUDI. Lembaga Tabung Haji (TH) bersedia pada bila-bila masa untuk memberikan perkhidmatan terbaik termasuk menyediakan khidmat doktor pakar bagi memastikan jemaah haji Malaysia dapat menyempurnakan ibadah haji dengan sempurna.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.