KUALA LUMPUR - Beberapa pemimpin utama dari Sarawak melahirkan rasa sedih dan amat terkesan dengan pemergian Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem hari ini, yang disifatkan kehilangan amat besar buat negeri berkenaan.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Adenan merupakan seorang pemimpin amat disegani yang telah membawa banyak perubahan besar kepada negeri itu.

Wan Junaidi berkata Adenan yang dikenali beliau sejak 1970-an, juga merupakan seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada pemimpin-pemimpin lain terutama dalam memberi nasihat dan tunjuk ajar.

"Bagi saya, Allahyarham bukan sahaja seorang pemimpin, tetapi beliau juga adalah sahabat rapat saya yang kami saling memahami isi hati masing-masing dan mengetahui turun naik perjalanan politik masing-masing.

"Apabila beliau menghembuskan nafas terakhir hari ini, saya kehilangan seorang sahabat rapat yang sangat saya hormati dan mempunyai minat yang sama iaitu membaca buku topik-topik sejarah negeri dan politik," katanya kepada Bernama di sini. Adenan meninggal dunia kira-kira 1.20 tengah hari di Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan, Kuching, 16 hari sebelum hari lahirnya yang ke-73.

Wan Junaidi yang juga anggota Parlimen Santubong berkata sebagai Ketua Menteri, Adenan dilihat melaksanakan pentadbiran negeri itu dengan pendekatan yang amat berbeza berbanding pemimpin-pemimpin terdahulu terutama dalam menyuarakan kepentingan rakyat Sarawak kepada kerajaan Pusat.

Menurut Wan Junaidi, Allahyarham juga disifatkan sebagai seorang pemimpin yang tegas dalam mempertahankan hak-hak negeri itu di bawah Perlembagaan dan usaha-usaha ke arah membangunkan kawasan luar bandar.

Sementara itu bercakap kepada Bernama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim menyifatkan pemergian Adenan bagi dirinya seperti anak yang kehilangan bapa.

Beliau berkata Adenan adalah seorang pemimpin yang banyak berjasa kepadanya terutama dalam mendidik dan memberi nasihat untuk menjadi seorang pemimpin yang baik.

"Pemergian beliau menyebabkan saya kehilangan seorang mentor yang telah banyak membimbing saya dan memberi sokongan kepada saya dan pemergiannya hari ini benar-benar menyedihkan," katanya.

Bagi Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof, pemergian Adenan bukan hanya kehilangan kepada Sarawak tetapi juga kepada Malaysia secara umumnya.

Katanya, Allahyarham adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat di mana sepanjang menerajui negeri, beliau banyak menabur jasa dan memperjuang kepentingan serta hak Sarawak.

Malah katanya, dalam keadaan kesihatan yang kurang mengizinkan Allahyarham sentiasa kelihatan 'gagah' melaksanakan tanggungjawabnya termasuk berusaha menghadiri sebanyak mungkin majlis bersama rakyat.

"Seluruh rakyat Sarawak amat menyayangi Tok Nan, namun sesungguhnya ALLAH lebih menyayangi Allahyarham. Malaysia kehilangan seorang pemimpin berwibawa, semoga ALLAH SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah," katanya. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Perjanjian Paris yang ditandatangani oleh 195 negara di seluruh dunia untuk menangani perubahan iklim tidak akan gagal meskipun Amerika Syarikat menarik diri daripada perjanjian tersebut.
  • KUCHING - Wakil rakyat DAP, Dr Ting Tiong Choon yang dilucut kelayakannya sebagai Adun Pujut dikatakan boleh mencabar keputusan tersebut di mahkamah namun peluangnya dilihat adalah tipis untuk mencapai keputusan positif.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.