SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM)  hari ini melakar sejarah  apabila menjadi institusi pendidikan awam  pertama di negara ini yang berjaya melancarkan satelit nano sulungnya ke orbit dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Satelit UiTMSAT-1 itu dilancarkan ke orbit kira-kira  5.45 petang  waktu Malaysia  dan acara tersebjut dipancarkan secara langsung dari  Agensi Eksplorasi Angkasa Lepas Jepun (JAXA).

Turut hadir menyaksikan pelancaran itu ialah Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan Tinggi Datin Paduka Ir Dr Siti Hamisah Tapsir, Ketua Unit Pengoperasian Angkasa Agensi Angkasa Negara Hamid Salim dan Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Kejuruteraan Elektrik UiTM Dr Juliana Johari.

Siti Hamisah ketika ditemui pemberita kemudian berkata pelancaran  'UiTMSAT-1’ itu merupakan satu titik tolak dalam memperkasa penyelidikan berkaitan bidang angkasa di negara ini.

"Projek satelit yang dilancarkan UiTM merupakan satu projek yang sememangnya patut dibanggakan dan universiti lain di negara ini juga digalakkan mengikut jejak langkah UiTM untuk merancakkan lagi bidang kajian angkasa,” katanya.             

Satelit  itu dilancarkan ke ISS menerusi roket kargo Space X Falcon 9 dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Florida, Amerika Syarikat pada 29 Jun lalu.

Satelit nano berbentuk kiub berukuran 10 sentimeter itu dibina oleh dua pelajar UiTM di Jepun iaitu Syazana Basyirah Mohamad Zaki dan Muhammad Hasif Azami hasil jalinan kerjasama dengan Kyushu Institute of Technology (KyuTech) menerusi program ‘Joint Global Multi-Nation (BIRDS-2)’.

Selain mereka, turut mengikuti program berkenaan ialah lapan pelajar lain dari Bhutan dan Filipina yang membina satelit nano bagi negara mereka iaitu BHUTAN-1 dan MAYA-1 (Filipina).

Projek tersebut bermula dengan perancangan misi satelit pada Disember 2016, diikuti dengan  mereka bentuk dan membina model satelit, menguji, memasang, sebagai persediaan pelancaran dan menggerakkan satelit berkenaan.          

Sementara itu, Muhammad Hasif berkata data yang diperoleh daripada satelit itu akan disalurkan ke Pusat Satelit Komunikasi UiTM untuk tujuan penyelidikan.

"Satelit ini mempunyai enam misi antaranya pengambilan imej, menguji korelasi lokasi satelit, ujian cip Sistem Penentu Kedudukan Global, mengukur medan magnetik di angkasa untuk data pemetaan geomagnetik di rantau Asia Tenggara serta komunikasi radio.

"Selepas setengah jam satelit berada di ruang angkasa, kita sudah boleh mengumpul data-data yang diperlukan selaras dengan misi satelit itu," katanya. –Bernama