KUALA TERENGGANU - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) telah memperkenalkan projek perintis Penilaian Tadbir Urus Baik Pertubuhan dalam memperkasakan imej pertubuhan ke tahap lebih unggul.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata program berkenaan telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Dalam Negeri tahun lalu.

"Pengiktirafan tersebut akan diberi kepada sesebuah pertubuhan yang berjaya mentadbir berdasarkan lima prinsip Kod Tadbir Urus Baik.

"Penilaian Kod Tadbir Urus Baik ini juga akan dibuka kembali kepada semua pertubuhan mulai tahun 2018," katanya ketika berucap di Karnival Pertubuhan Kebangsaan yang dirasmikan Ahmad Zahid..

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Ketua Setiusaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Sri Alwi Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong.

Tahun ini Majlis Aids Malaysia telah memenangi Sijil Pengiktirafan Penilaian Urus Baik Pertubuhan Tahun 2017.

Tambah Mohammad Razin, sebanyak 66,828 pertubuhan berstatus aktif di peringkat induk dan cawangan berdaftar dengan ROS di seluruh negara.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,404 pertubuhan telah didaftarkan di negeri Terengganu dalam tempoh yang sama," katanya.

Tambah beliau, kerajaan turut mewujudkan inisiatif dalam mewujudkan kawasan kejiranan yang selamat dan tenteran seperti dalam Ucapan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sebanyak RM40 juta diperuntukkan untuk melaksanakan semula Geran Persatuan Penduduk (RA) yang geran dengan nilaian maksima RM10,000 dipelawa kepada semua Persatuan Penduduk yang berdaftar dibawah ROS Malaysia sehingga 31 Oktober 2017.

"Geran ini digunakan oleh persatuan untuk membeli peralatan kawalan keselamatan bagi melaksanakan program pencegahan jenayah, dadah, pembersihan dan penyelenggaraan serta aktiviti kejiranan dengan mana-mana persatuan yang masih belum memohon, haruslah segera berbuat demikian sebelum tarikh tutup," katanya. - Bernama