• Restoran hangus, rugi RM50,000 Keadaan bangunan restoran yang hangus dalam kebakaran terbabit, semalam.
1 /

KOTA BHARU- “Saya tidak mampu berbuat apa-apa, dan hanya sempat memerhatikan api yang semakin marak membakar sebahagian restoran milik saya,” kata pemilik premis terbabit, Zakaria Mohamad, 54.

Menurutnya kebakaran di Restoran D’Mina, Pengkalan Chepa itu, berlaku kira-kira jam 5 pagi dan hanya dimaklumkan mengenai kejadian melalui seorang rakan yang secara kebetulan lalu di kawasan itu melalui telefon.

“Terkejut menerima berita itu, saya terus bergegas ke sana yang jaraknya hampir 30 kilometer.

“Sampai sahaja di tempat kejadian kira-kira jam 6 pagi, saya lihat api begitu besar dan minta rakan hubungi bomba memandangkan saya masih trauma dan tidak dapat membuat panggilan telefon,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di tempat kejadian.

 Zakaria berkata, dia agak bernasib baik kerana semasa kejadian beberapa pekerja yang bermalam di bilik bahagian belakang juga sempat menyelamatkan diri.

 “Sedih melihat kejadian ini, namun saya masih bersyukur semua pekerja selamat dan hanya barang-barang termasuk kerusi, meja serta beberapa barangan lain musnah dalam kebakaran ini.

 “Kerugian dianggarkan lebih RM50,000 dan setakat ini saya serahkan kepada pihak bomba untuk siasat punca kejadian," katanya.

 Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Pengkalan Chepa, Fakri Mazlan berkata, empat jentera dihantar ke tempat kejadian.

“Kami menerima panggilan kira-kira jam 6.05 pagi dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.

 “Namun api begitu marak namun kami berjaya mengawal keadaan berkenaan dari terus merebak ke bahagian lain kira-kira setengah jam kemudian," katanya.