JOHOR BAHRU - Polis diminta meneliti dan memulakan siasatan berhubung amaran Kedutaan Amerika Syarikat (AS) terhadap rakyatnya yang mendakwa wujud kes meletakkan dadah atau alkohol dalam minuman secara terancang yang mensasarkan warga asing di sebuah kelab malam di ibu negara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, kes seumpama itu diakui memang berlaku di banyak tempat, namun mangsa tidak membuat laporan polis, sebaliknya menyatakan perkara berkenaan di dalam media sosial.

"Ini mungkin juga merupakan sebab kenapa Kedutaan Amerika mengambil berat mengenai kes ini.

"Tapi tak perlulah dikeluarkan nasihat perjalanan. Maklum sahaja kepada pihak polis kita, pihak polis kita boleh mengambil tindakan sekiranya ada aduan yang berpatutan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas hadir ke Majlis Perasmian Ulangtahun Pertama Gelanggang Futsal Everyday Sports Sdn Bhd di Taman Anggerik di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan sebuah portal berita mengenai amaran Kedutaan AS di Kuala Lumpur kepada rakyatnya untuk mengelak pergi ke sebuah kelab di ibu negara kerana mendakwa ada kes meletakkan dadah atau alkohol dalam minuman secara terancang yang mensasarkan warga asing.

Nur Jazlan berkata, beliau berharap nasihat perjalanan tersebut juga bukan satu tindakan yang mempunyai niat tertentu selain daripada untuk memaklumkan kepada rakyat negara terbabit.

Katanya, maklumat seperti itu dibimbangi memberikan imej negatif kepada negara ini, meskipun nasihat perjalanan berkenaan hanya menyebut sebuah tempat sahaja di Kuala Lumpur.

"Ia boleh menggambarkan semua kelab di Kuala Lumpur dan juga di Malaysia ini mengamalkan perkara sama. Jadi saya mengharapkan pihak Kedutaan AS tidak lagi membuat nasihat perjalanan seperti ini yang spesifik.. yang terlalu kecil (terperinci) maklumatnya.

"Terus sahaja melaporkan kepada pihak polis supaya pihak polis boleh membuat tindakan sewajarnya," katanya.

Beliau berkata, polis juga sedang mempertingkatkan aktiviti mencegah penyalahgunaan dadah di kelab-kelab malam termasuklah memerhati tingkah laku pelayan dan pelayan bar.

"Kadang-kadang pelayan dan 'bartender' juga memberikan perkhidmatan iaitu kalau minuman tersebut ditambah dengan dadah-dadah yang tertentu, maka mereka boleh mengenakan bayaran lebih tinggi terhadap minuman tersebut.

"Perkara ini tidak mudah dikesan, tapi pihak polis sekarang ini sedang menumpukan perhatian kepada tingkah laku pelayan dan juga 'bartender' yang berkenaan supaya mereka tidak mengamalkan perbuatan untuk menambah apa-apa bahan terutama dadah dalam minuman pengunjung ke kelab-kelab malam," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA BHARU - Jangan ganggu urusan siasatan berhubung isu Felda dan biarlah pihak berkuasa termasuk polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang jalankan tugas mereka.
  • JOHOR BAHRU - Kementerian Dalam Negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didapati terlibat dalam sebarang aktiviti jenayah berkaitan dadah.
  • KUALA LUMPUR - Balai polis di seluruh negara akan dinaik taraf dari segi teknologi dan perkhidmatan sejajar dengan hasrat mencapai tahap kepolisan moden, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.
  • NILAI - Orang ramai digesa memberi pandangan untuk pindaan Dasar Dadah Negara menerusi laman sesawang Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) bermula hari ini sehingga 30 November, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.