LANGKAWI - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan kerajaan pimpinannya akan memastikan pembangunan yang adil dan saksama akan terus dikecapi setiap kelompok masyarakat.    

Katanya menerusi dasar ini, nikmat pembangunan negara bukan hanya dapat dirasai oleh penduduk di kawasan bandar sahaja, malah dapat meningkatkan lagi taraf hidup masyarakat luar bandar khususnya golongan kurang berkemampuan.

"Kita amalkan dasar yang seimbang dan inklusif, dan saya tidak akan berganjak daripada prinsip ini," katanya semasa merasmikan projek bekalan elektrik luar bandar 24 jam di Pulau Tuba di sini.    

Projek yang diluluskan sendiri oleh Najib pada 2012 dengan kos kira-kira RM45 juta itu melibatkan bekalan elektrik menerusi kabel dasar laut dari Kuala Perlis dan memanfaatkan kira-kira 5,000 orang penduduk di pulau itu.    

"Sayalah orang yang merasa sungguh gembira kerana apa yang saya lafazkan sebagai janji saya kepada masyarakat Pulau Tuba sudah dapat ditepati," katanya.    

Najib berkata pelaksanaan projek bekalan elektrik menggunakan kabel dasar laut ke Pulau Tuba ini pada asalnya tidak tersenarai di dalam bajet tahunan kerajaan namun kesedarannya tentang kesulitan yang dihadapi masyarakat pulau itu  menyebabkan beliau meluluskannya.    

Katanya penduduk pulau ini yang sebahagian besarnya menjadi nelayan adalah kelompok masyarakat yang akan terus dibela demi untuk memastikan mereka sama-sama menikmati pembangunan yang sudah berlaku di Langkawi.    

"Kalau kita sudah jadikan Langkawi sebagai pulau bebas cukai, kita tidak mahu yang untung pelancong sahaja tetapi rakyat tempatan ketinggalan," katanya.   

Beliau juga enggan melayan sikap segelintir pihak yang menganggap usahanya membantu golongan berpendapatan rendah selama ini sebagai cubaan merasuah rakyat.    

"Ini dasar yang adil. Bukannya dedak, bukannya rasuah... Saya tidak mahu nelayan (terus) dihina. Kami ingin terus membela nelayan dan petani," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau amat sedih dan kesal dengan siri serangan ganas di Pakistan pada malam menjelang Aidilfitri yang mengorbankan sekurang-kurang 80 dan mencederakan lebih 100 orang.
  • PUTRAJAYA - Rakyat berperanan dalam menjamin keselamatan negara dengan memastikan mereka tidak terpengaruh dengan fahaman militan dan eksremis yang bukan sahaja boleh menggugat keselamatan malah kesejahteraan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.