KUANTAN - Kegigihan si ibu yang tidak pernah jemu membantunya ketika belajar daripada peringkat diploma sehingga ijazah sarjana muda menjadi pendorong utama kepada seorang graduan orang kurang upaya (OKU) Universiti Malaysia Pahang (UMP), menggenggam Ijazah Sarjana hari ini.

Siti Hawa Apandi, 27, yang menerima Ijazah Sarjana Sains Komputer pada hari pertama Majlis Konvokesyen UMP hari ini, merupakan OKU menghidap penyakit 'Spinal Muscular Atrophy'.

Penyakit berkenaan melemahkan urat sarafnya sejak kecil lagi sehingga pergerakan gadis cilik ini terbatas dan terpaksa bergantung dengan kerusi roda.

Namun Siti Hawa berkata kekurangan itu tidak pernah melemahkannya, sebaliknya pengorbanan ibunya selama sembilan tahun berada di sisinya menghabiskan pengajian sejak diploma lalu di UMP, memberikannya inspirasi kepadanya bagi meneruskan pengajian pada tahap lebih tinggi.

"Selepas ini saya berhasrat untuk sambung belajar pada peringkat PhD (Doktor Falsafah) dan pada masa ini masih berbincang dengan pensyarah mengenai tajuk kajian yang boleh dilakukan untuk PhD sebelum memohon menyambung pengajian ini nanti," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Siti Hawa berkata beliau pernah hampir putus asa sehingga mengalirkan air mata ketika semester pertama pengajian ijazah sarjana itu kerana menghadapi kesukaran memandangkan dia mengambil mod penyelidikan sepenuhnya dalam pengajian berkenaan.

Namun, ibunya tetap memberikan kata semangat kepadanya supaya terus kuat menghadapi cabaran itu dan kemudian membawanya berjumpa dengan pensyarah berkaitan bagi membincangkan penyelidikan yang dilakukannya.

"Saya sungguh bertuah mempunyai ibu seperti ini...apa saya boleh katakan kita boleh berjaya macam orang lain, yang penting kena ada semangat juang tinggi dengan menjadikan kekurangan itu sumber kekuatan kepada kita untuk berjaya," katanya.

Sementara itu, ibunya Zaidah Tamjis, 53, berkata beliau sanggup mengorbankan masanya demi anak ketiga daripada lima beradik itu untuk membuktikan kepada orang lain bahawa insan istimewa seperti Siti Hawa juga mampu belajar pada peringkat tertinggi seperti individu normal lain.

"Sejak dia ambil diploma tiga tahun, ijazah sarjana muda tiga tahun dan ijazah sarjana ini tiga tahun, saya yang teman dia pergi ke mana-mana sahaja termasuk ke kelas. 

"Sebab anak saya ini tangan dia tidak berapa kuat, kalau hendak angkat benda berat seperti buku tebal tidak boleh, hanya setakat mampu memegang sebatang pen dan sehelai kertas sahaja," katanya.   

Zaidah berkata pada konvokesyen UMP kali ini sangat bermakna kepadanya kerana Siti Hawa turut berkongsi pentas dengan adiknya Zakiah Apandi, 21, yang menerima Diploma Sains Komputer. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kafe Inspired Kitchen, yang dikendalikan pelajar orang kurang upaya (OKU) Kolej Komuniti Selayang, akan diperluaskan secara berperingkat pada masa akan datang.
  • MELAKA - Graduan tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata untuk mendapatkan pekerjaan, sebaliknya perlu melengkapkan diri mereka bagi memenuhi keperluan industri, kata Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob
  • SERDANG - Lebih banyak peluang dan program usahawan akan dijana di peringkat universiti supaya graduan menjadi 'pencipta pekerjaan' selepas menamatkan pengajian, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.
  • BANGI - Semua graduan universiti awam (UA) disasarkan mencapai tahap penguasaan Bahasa Inggeris B2 iaitu bertutur dengan fasih di bawah Common European Framework of Reference for Languages (CEFR) dalam tempoh tiga hingga empat tahun lagi, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.
  • KUALA LUMPUR - Seramai 4,867 graduan Universiti Malaya (UM) menerima ijazah masing-masing sempena Istiadat Konvokesyen universiti itu pada tahun ini, bermula semalam sehingga Selasa depan.