KUALA NERUS - Penduduk sekitar Mengabang Telipot, gempar dengan penemuan rumpai laut berwarna merah jambu yang ditemui terdampar di sekitar pantai di kawasan berkenaan.

Kehadiran rumpai laut itu mula dikesan sejak Jumaat lalu oleh penduduk, namun jumlahnya dikatakan semakin banyak mulai semalam hingga mencetuskan tanda tanya ramai pihak.

Tinjauan Sinar Harian di Kampung Tanjung Gelam mendapati, rumpai laut yang berwarna merah itu memenuhi kawasan pantai disertai dengan bau busuk.

Seorang penduduk yang ditemui, Che Maizon Embong, 63, berkata, dia mula menyedari kehadiran rumpai laut itu setelah terganggu dengan bau busuk yang dipercayai datang dari arah pantai berkenaan.

“Sejak malam Jumaat lagi saya telah terhidu bau busuk, namun tidak mengambil serius sehinggalah semalam dimaklumkan ada rumpai laut yang terdampar.

“Pagi ini (semalam) saya turun dan lihat sendiri ke kawasan pantai dan agak terkejut dengan jumlah rumpai laut yang begitu banyak terdampar di sini.

“Sejak dari kecil lagi saya menetap di kawasan ini, namun kejadian sebegini merupakan kali pertama yang pernah saya lihat dan tidak pernah terjadi sebelum ini,” katanya.