SHAH ALAM - Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani enggan mengulas lanjut berhubung laporan berita pemulangan pingat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isterinya, Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Menurutnya, kenyataan rasmi berhubung perkara itu akan dikeluarkan pihaknya esok.

“Apa-apa pun tunggu esok. Hari ini pejabat tutup, esok kenyataan akan dikeluarkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Istiadat Penganugerahan/Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-72 Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu.

Terdahulu,  Mahathir dilaporkan sudah mengembalikan dua pingat yang diterimanya daripada Sultan Selangor, termasuk satu darjah kebesaran tertinggi negeri itu, petang Khamis lalu.

Kedua-dua pingat diserahkan kepada seorang pegawai kanan di pejabat Sultan Selangor di Istana Alam Shah di Klang.

Mengikut jejak langkah suaminya, Siti Hasmah dikatakan turut memulangkan dua darjah kebesaran masing-masing Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor dan Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor, pada hari sama.

Pingat yang dikembalikan Siti Hasmah itu ialah anugerah yang diterimanya daripada sultan Selangor pada 1983 dan 1994.

Manakala pingat dipulang Mahathir termasuk Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Darjah Kelas Pertama pada 22 Jun 1978, yang membawa gelaran Datuk Seri dan Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) yang diterima kira-kira sebulan sebelum persaraannya pada Oktober 2003.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Kamaruddin Mohd Noor yang dihubungi Sinar Harian mengesahkan berita pemulangan pingat tersebut.

Katanya, tindakan itu diambil selepas Sultan Selangor menjelaskan kemurkaan baginda sebelum ini.

"Tun buat keputusan tanpa desakan mana-mana pihak. Bagi beliau tidak wajarlah masih memegang pingat yang diberi oleh pemberi yang sudah murka kepadanya.

'Tun ambil berat mengenai hal apapun, sebab itu beliau ambil keputusan itu (pulangkan pingat)," katanya.

Terdahulu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dilaporkan murka terhadap kenyataan Mahathir yang didakwa menghina masyarakat Bugis.