KUALA LUMPUR - Suasana di pintu masuk Parlimen pagi ini kecoh dengan kehadiran pemandu teksi yang mengadakan demonstrasi bantahan terhadap Grabcar dan Uber.

Bersama-sama mereka sepanduk yang tertera tulisan "Hentikan kezaliman moden", "Uber manipulasi teksi" .

Menurut Jurucakap Kesepakatan Persatuan Teksi Se-Malaysia, Zailani Isausuludin, pihaknya menggesa agar pemimpin kerajaan bertemu dengan pemandu teksi bagi mendengar isi hati mereka.

"Kami berharap wakil Parlimen datang jumpa dan melihat apa yang berlaku pagi ini.

"Minta Menteri Datuk Seri Nancy Shukri berhadapan dengan pemandu teksi Malaysia, lihatlah pemandu teksi yang tidak punyai pendapatan, tidak boleh bayar rumah sewa, anak tak dapat belanja sekolah, ini apa yang terjadi...adakah ini slogan rakyat didahulukan," katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Zailani berkata, sebelum ini pihaknya telah beberapa kali bertemu dengan pemimpin kerajaan untuk menyelesaikan masalah antara pemandu teksi dengan pemandu Uber dan Grabcar ini.

"Kami telah beberapa kali berbincang mengenai perkara ini sebelum ini, namun masih buntu," katanya lagi.

Satu memorandum mengenai perkara ini diserahkan kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar bagi mengetengahkan  perkara ini, sekali gus menyelesaikan masalah yang membelenggu pemandu teksi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MARAN - Seramai 100,000 pemandu teksi termasuk Uber dan Grab yang bekerja sendiri akan dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan selepas Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 diluluskan oleh Dewan Negara semalam.
  • KUALA LUMPUR - Kejujuran pemandu teksi, Zamrod Adam yang memulangkan dompet kepunyaan seorang penumpang wanita mendapat penghargaan apabila dua anaknya akan menerima bantuan pendidikan daripada Kumpulan Naza.