KUALA LUMPUR - Nasopharyngeal Carcinoma (NPC) sejenis kanser hidung yang paling lazim dihidapi kalangan kaum Cina Malaysia, diikuti Melayu dan India, kata Perunding Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) yang juga Pakar Bedah Kepala dan Leher Hospital Pantai Ipoh, Dr Rekha Balachandran.

Beliau berkata kaum Bidayuh di Sarawak juga berisiko menghidap NPC.

“Keturunan, gaya hidup dan jangkitan virus Epstein-Barr (EBV) adalah faktor yang menyebabkan kanser.

“Mempunyai anggota keluarga rapat yang menghidap NPC meningkatkan risiko menghidap penyakit itu, dan pengambilan makanan yang diawet seperti sayur-sayuran berjeruk dan ikan kering turut menyumbang kepada masalah ini,” katanya kepada Bernama dalam temu bual hari ini.

Kanser NPC bermula di nasofarinks, bahagian atas tekak di belakang hidung dan berhampiran pangkal tengkorak.

Semalam, laporan mengenai pemain badminton nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei yang didiagnosis dengan kanser hidung peringkat awal telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia terkejut, dan menyampaikan beribu-ribu mesej positif yang mendoakan agar beliau segera sembuh.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata Chong Wei kini berada di Taiwan menjalani rawatan, sambil berehat dan memulihkan diri, ditemani anggota keluarga dan rakan rapatnya.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Rekha berkata NPC bermula dengan bengkak di bahagian leher yang tidak menyakitkan dan pesakit diminta mendapatkan nasihat doktor sekiranya benjolan itu lebih dari tiga minggu.

“Kedua, adalah pendarahan di bahagian hidung. Kadang-kadang apabila menghembus hidung secara berterusan, ia akan mula berdarah. Hidung yang tersumbat dan kurang pendengaran terutamanya sebelah telinga sahaja, juga merupakan simptom,” ujar beliau.

Bagaimanapun Dr Rekha berkata NPC adalah kanser yang boleh dirawat jika dikesan pada peringkat awal.

"Kadar kelangsungan hidup lima tahun sebenarnya agak tinggi kerana tahap awal NPC, peringkat satu dan dua, kadar survival adalah 80 hingga 85 peratus. Saya secara peribadi melihat beberapa pesakit NPC bertahan lebih daripada lima tahun…10 dan 20 tahun. Selagi ia dapat dikesan sebelum tumor merebak dan membesar,” katanya.

Menurut Dr Rekha, penghidap NPC sukar didiagnosis lebih awal kerana simptomnya agak lemah kerana ia tidak menyakitkan.

“Mungkin pesakit yang mempunyai gejala sedemikian tidak pergi berjumpa doktor kerana mereka berpendapat ia tidak berbahaya, dan tumor pula tumbuh di tempat yang tidak dapat dilihat atau tersembunyi, jadi pesakit tidak menyedarinya,” katanya.

Mendefinisikan NPC sebagai ‘nasib cabutan’ Dr Rekha berkata ia sukar untuk dijangka siapa yang akan didiagnosis dengannya, tetapi mengamalkan gaya hidup sihat akan membantu melambatkan risiko.

“Mengurangkan atau menghapuskan beberapa jenis makanan boleh menurunkan risiko NPC. Diet sepatutnya seimbang, makan lebih banyak sayur-sayuran segar dan buah-buahan serta elakkan makanan yang diawet,” katanya. -Bernama