$entry.content.caption.value
SHAH ALAM - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan pertemuannya dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara pagi ini ekoran kenyataan kontroversi Ketua Umum Pakatan Rakyat itu menyentuh kedudukan Israel dalam "sedikit masa lagi."
"Alhamdulillah, baru selesai mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut serta ialah Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Kenyataan lanjut akan dikeluarkan sedikit masa lagi insya-Allah," kata beliau dalam mesej yang dipaparkan menerusi laman sosial facebook tengah hari ini.
Anwar mengadakan pertemuan dengan Nik Abdul Aziz kira-kira sejam di PNB Darby Park, Kuala Lumpur bagi menjelaskan pendirian beliau ekoran penerbitan satu temu bual dengan akhbar Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu.
Anwar ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu berkata, Nik Abdul Aziz menerima penjelasan beliau.
Ketua Pembangkang tiba di apartmen PNB Darby Park kira-kira jam 9.15 pagi dan keluar sejam kemudian.
"Alhamdulillah, pertemuan saya bersama Nik Aziz baik. Kita bukan sahaja membincangkan tentang soal Israel, tetapi mengenai Pakatan Rakyat juga.
"Saya menjelaskan kenyataan saya di Wall Street Journal dan saya turut menyebut tentang reaksi Ketua Hamas, Khaled Mashal. Nik Aziz dengar dan faham pendirian saya. Saya sendiri pun faham pendirian Pas yang tegas tentang Israel, " katanya.
Minggu lalu, Nik Abdul Aziz menggesa Anwar, yang juga Ketua Umum PKR agar menarik balik kenyataannya berkaitan dengan Israel, yang disiarkan dalam akhbar WSJ.
Nik Aziz berkata, jika kenyataan itu disalah lapor atau membawa maksud yang berbeza, maka beliau dan seluruh ahli Majlis Syura Ulama menasihatkan Anwar untuk mengambil tindakan undang-undang dengan menyaman WSJ bagi membersihkan nama beliau.
Selain itu, Anwar menegaskan, dalam kenyataan beliau dalam WSJ, penekanan terhadap syarat-syarat tertentu perlu bagi pembebasan Palestin.
"Saya juga sebut tentang reaksi Ketua Hamas apabila dia melihat kenyataan saya itu. Saya ingin memberi penekanan di sini iaitu prasyarat, pertama undurkan tentera Israel dari Palestin; kedua, hentikan keganasan; ketiga, hentikan kepungan di Gaza dan keempat, Iktiraf Baitulmaqdis.
"Ini syarat-syarat yang saya sebut tetapi media di sini hanya gunakan bahagian pertama iaitu kesediaan mengiktiraf keselamatan Israel tetapi tidak letak kontinjen dan prasyarat," katanya.
AKAN MENYUSUL





