RIYADH - ARAB SAUDI. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyertai pemimpin-pemimpin negara Arab dan Islam pada satu sidang kemuncak dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump di ibu negara Arab Saudi ini pada Ahad.

Najib adalah antara pemimpin termasuk Raja Arab Saudi Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud dan Trump yang dijadualkan berucap pada sidang kemuncak bersejarah itu, yang menyenaraikan keselamatan dan memerangi keganasan sebagai agendanya.

Lebih 50 pemimpin Arab dan Islam akan menghadiri Sidang Kemuncak Negara Arab, Islam dan Amerika Syarikat itu di Pusat Konvensyen Raja Abdulaziz, yang dinamakan sempena raja pertama Arab Saudi.

Najib, yang dijadual tiba di sini pada Sabtu, akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-tugas Khas Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Antara pemimpin yang dijemput menyertai sidang kemuncak itu adalah Raja Abdullah II dari Jordan, Raja Mohammed VI dari Maghribi, Presiden Yaman Abedrabbo Mansour Hadi, Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Presiden Indonesia Joko Widodo. 

Arab Saudi bakal menjadi negara pertama yang dikunjungi Trump  sejak dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat pada Januari lepas.

Semasa lawatan kerja tiga hari itu, Najib dijadual menghadap Raja Salman, Putera Mahkota Mohammad Bin Naif Al-Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri serta Timbalan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman Al- Saud yang juga Timbalan Perdana Menteri kedua dan Menteri Pertahanan Arab Saudi.

Najib juga dijadual menghadiri perasmian Pusat Global bagi Memerangi Ideologi Ekstremis di Istana Nasiriyah di sini pada Ahad.

Pada Isnin, Najib akan bertemu Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hassina di ibu negara ini, yang terletak di dataran padang pasir. –Bernama

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.