KUALA LUMPUR -  Lebih 15,000 pekerjaan untuk siswazah dan golongan profesional ditawarkan di Pameran Kerjaya dan Latihan Malaysia (MCTF) 2013, dianjurkan bersama oleh AIC Exhibitions Sdn Bhd dan JobStreet.com.
   
MCTF 2013 akan diadakan pada 29-31 Mac di Pusat Pameran Midvalley di sini.
   
Pengurus negara JobStreet.com, Chook Yuk Yng berkata, MCTF 2013 adalah pameran kerjaya terbesar yang pernah dianjurkan, meliputi tiga dewan seluas 48,500 kaki persegi.
   
Beliau berkata, lebih 160 syarikat akan menawarkan pekerjaan di seluruh negara dan luar negara.
   
"Majikan yang mengambil bahagian terdiri daripada pelbagai industri seperti teknologi maklumat, minyak dan gas, perkhidmatan kewangan, runcit, kejuruteraan, pemasaran dan jualan, makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan bioteknologi, sumber manusia, pengurusan acara dan lain-lain," katanya pada sidang media laporan unjuran JobStreet.com untuk suku pertama 2013.
   
Beliau berkata kerana prospek pekerjaan adalah cerah bagi suku pertama 2013, akan terdapat peluang bagi pencari pekerjaan untuk bertemu dengan pegawai sumber manusia, menghantar resume mereka dan mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai syarikat itu.
   
Sementara itu, pengarah urusan AIC Exhibitions, William Ng, berkata akan terdapat temu duga serta merta serta klinik menulis resume dan perbincangan kerjaya untuk membantu pencari kerja.
   
Ng berkata, pameran itu dijangka menarik lebih 120,000 pelawat.
   
Di kalangan syarikat-syarikat terkemuka yang mengambil bahagian dalam pameran kerjaya itu adalah AIG Global Services, Nestle Products, Petronas, Murphy Group, Genting Group, British American Tobacco, Kraft Foods, Phillip Morris Malaysia dan Dell Global Business Centre. - Bernama