JOHOR BAHRU - Laporan Tahunan Pemerdagangan Orang (TIP) 2017 Amerika Syarikat yang meletakkan Malaysia di Tahap 2 menunjukkan negara itu mengiktiraf usaha membanteras pemerdagangan manusia yang dijalankan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, ia juga bukti kukuh kepada usaha KDN melalui Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) untuk mengekang jenayah  berkaitan pemerdagangan manusia di Malaysia.

"Kita mengambil pengajaran daripada kejadian di Wang Kelian, Perlis pada 2015. Sejak itu, tidak ada lagi laporan mengenai kejadian serupa berlaku di dalam negara.

“Pengiktirafan Amerika Syarikat adalah bukti bahawa kita berada di landasan yang betul,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Kecemerlangan Kempimpinan Anggota Jawatankuasa Aktiviti Kemas 2018 Parlimen  Pulai di Taman Cempaka di sini, hari ini.

Menurutnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bekerjasama rapat dengan Pasukan Petugas Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) dalam memastikan Malaysia terus bebas daripada jenayah itu.

Nur Jazlan diminta mengulas gesaan Badan Peguam Malaysia yang mahukan KDN menambah dan meningkatkan kemahiran pasukan siasatan bagi mengenal pasti, menahan dan mendakwa pihak yang terbabit dalam kegiatan pemerdagangan manusia.           

Pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-72  semalam, Badan Peguam Malaysia turut menggesa kerajaan supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kewujudan kem pemerdagangan manusia dan kubur di kawasan berbukit Wang Kelian tiga tahun lepas.

Nur Jazlan berkata perkaraitu tidak perlu dilakukan kerana tindakan sudah pun diambil terhadap pihak terlibat selain tiada lagi kes sama berlaku dalam negara.           

Beliau berkata kerajaan Malaysia masih  menunggu jawapan kerajaan Thailand berhubung ekstradisi tiga suspek utama kes pemerdagangan etnik Rohingya yang dikatakan mempunyai kaitan dengan penemuan kubur besar di Wang Kelian pada 2015, untuk didakwa di negara ini.          

"Malaysia telah mengemukakan permohonan berkenaan sejak dua tahun dahulu melalui Wisma Putra kepada Kementerian Luar Thailand...sehingga hari ini, kita masih menunggu jawapan daripada negara berkenaan,” katanya – Bernama