Lapan seni budaya Malaysia terima pengiktirafan UNESCO sejak 2014

Mohd Nassuruddin bergambar bersama penari kebudayaan pada Majlis Perasmian Penutup Festival Kesenian Rakyat Kelantan 2026 di Tok Bali, Pasir Puteh malam Ahad. Foto Bernama
Mohd Nassuruddin bergambar bersama penari kebudayaan pada Majlis Perasmian Penutup Festival Kesenian Rakyat Kelantan 2026 di Tok Bali, Pasir Puteh malam Ahad. Foto Bernama
A
A
A

PASIR PUTEH - Sebanyak lapan seni budaya Malaysia menerima pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2014, membuktikan warisan negara terus diiktiraf pada peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris berkata, pencapaian itu hasil kerjasama erat Jabatan Warisan Negara dan JKKN dalam usaha memelihara serta mengangkat seni tradisi Malaysia ke persada dunia.

Beliau berkata, antara warisan yang menerima pengiktirafan UNESCO ialah makyung, silat, mekmulung dan dondang sayang manakala usaha untuk mencalonkan dikir barat sedang dilakukan.

"Pengiktirafan UNESCO memberi nilai tambah besar kepada warisan kerana menjadi antara tarikan utama pelancong asing untuk mengenali budaya sesebuah negara, seperti di Melaka dan Pulau Pinang,” katanya. 

Mohd Amran berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Program Pelancongan Budaya: Festival Kesenian Rakyat Kelantan (FKRK) 2026 di Jeti Pelancongan Tok Bali di sini malam tadi yang turut dihadiri Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Berhubung perkembangan seni tradisi di Kelantan, beliau berkata, pihaknya menghargai pendekatan kerajaan negeri memberi ruang kepada penganjuran persembahan seperti main puteri dan menora dengan syarat tidak bercanggah dengan Enakmen Hiburan Negeri serta bebas daripada unsur khurafat.

Beliau berkata, pendekatan itu memberi nafas baharu kepada usaha memelihara seni tradisi negeri dan memastikan warisan budaya terus berkembang mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Sementara itu, beliau berkata, FKRK 2026 ialah siri kelima Program Pelancongan Budaya anjuran MOTAC menerusi JKKN daripada keseluruhan 16 program yang dirancang di seluruh negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).

"Penganjuran festival ini membuktikan kebudayaan dan pelancongan mampu bergerak seiring dalam memperkukuh ekonomi setempat selain memperkenalkan identiti negeri kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Festival seperti ini bukan sahaja mengangkat warisan budaya Kelantan, malah menjadi platform memperkenalkan kekayaan seni tradisi negara kepada dunia serta menyokong aspirasi TMM 2026,” katanya.

Festival empat hari itu menarik kehadiran 100,000 hingga 150,000 pengunjung menerusi pelbagai pengisian berteraskan seni budaya Kelantan dan pertandingan gubahan sirih junjung, pulut semangat serta pameran perahu kolek sebagai identiti warisan negeri. - Bernama

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!