MoF sedia teliti mekanisme subsidi diesel bersama kerajaan negeri

Amir Hamzah (tengah) ditemui pemberita selepas Program Turun Padang BSN Micro Financing Tamu Papar pada Ahad.
Amir Hamzah (tengah) ditemui pemberita selepas Program Turun Padang BSN Micro Financing Tamu Papar pada Ahad.
A
A
A

PAPAR - Kementerian Kewangan (MoF) bersedia bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi meneliti mekanisme yang bersesuaian dalam pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, khususnya bagi memenuhi keperluan penduduk di kawasan pedalaman.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kerajaan sentiasa terbuka menerima maklum balas daripada Sabah termasuk cadangan penambahbaikan terhadap mekanisme sedia ada, namun setiap cadangan perlu diteliti bagi memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Menurutnya, bagi pengguna yang menggunakan kenderaan diesel untuk tujuan perniagaan seperti mengangkut penumpang atau barangan, mereka boleh memohon kuota melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Jadi kita tengok mekanisme yang ada. Bukan semua kenderaan diesel digunakan oleh satu individu. Kadang-kadang kenderaan diesel itu digunakan sebagai perniagaan untuk mengangkut penumpang dari satu lokasi ke satu lokasi.

"Bila ia adalah satu perniagaan, ia boleh diberi kuota melalui SKDS yang di bawah KPDN melalui kad fleet. Dengan kad fleet dan penilaian yang dibuat, kita boleh ubah kuotanya.

"Tapi kalau dia buat pergerakan orang daripada kampung ke pekan dan mengambil tambang, kita klasifikasikan sebagai kenderaan perniagaan. Dia boleh memohon SKDS untuk mendapat kad fleet. Jadi ada pendekatan, ada cara yang kita boleh buat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Turun Padang BSN Micro Financing Tamu Papar di sini, pada Ahad.

Sebelum itu, beliau diminta mengulas mengenai gesaan pelbagai pihak di Sabah untuk meningkatkan kouta diesel terutama melibatkan perjalanan yang jauh dari kawasan pedalaman dan antara daerah.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan bukan sahaja melihat keperluan di Sabah, malah akan mempertimbangkan sebarang mekanisme yang bersesuaian di seluruh negara sekiranya terdapat keperluan.

Artikel Berkaitan:

"Bukan saja di Sabah, tapi di seluruh negara, di mana kalau ada mekanisme yang membenarkan, kita akan melihat. Tapi yang pentingnya kita perlu kerjasama daripada kerajaan negeri dan agensi-agensi kerana orang yang mungkin jauh tidak faham situasi di bawah.

"Jadi dengan usaha sama kerajaan negeri memberi maklum balas, kita boleh usahakan mekanisme yang sepatutnya kepada mereka yang terkesan," katanya.

Jelas beliau, MoF sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan sebarang cadangan penambahbaikan, namun ia memerlukan penelitian bagi memastikan mekanisme yang dilaksanakan benar-benar tepat dan berkesan.

"Kita sentiasa bersedia. Mungkin ia mengambil masa untuk memastikan mekanisme itu betul, tapi kita akan pertimbangkan.

"Kita sedia untuk melihat dengan cara bagaimana yang sepatutnya, mengikut penggunaan yang sepatutnya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan turut memberi kelonggaran kepada pengguna sebenar kenderaan diesel yang bukan pemilik berdaftar untuk memohon kuota subsidi.

"Kadang-kadang kenderaan itu mungkin dibiayai melalui pinjaman oleh anak, tetapi digunakan oleh ibu bapa atau adik.

"Jadi kita benarkan perubahan kuota supaya ia boleh dipindahkan kepada pengguna sebenar dan sampai kepada mereka yang sepatutnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!