Matlamat kerajaan beri subsidi untuk rakyat, bukan pelancong asing - Amir Hamzah

Amir Hamzah (dua dari kanan) menyapa pengguna yang mengisi diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu.
Amir Hamzah (dua dari kanan) menyapa pengguna yang mengisi diesel di sebuah stesen minyak di Jalan Sulaman, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pemberian subsidi bahan api ketika ini lebih disasarkan untuk manfaat rakyat tempatan, manakala sektor pelancongan bukan matlamat utama dalam pelaksanaan dasar tersebut.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, walaupun sektor pelancongan merupakan antara industri penting kepada negara, pemberian subsidi tidak boleh diperluaskan kepada sektor tersebut kerana ia akan dimanfaatkan oleh pelancong.

Menurutnya, tumpuan kerajaan ketika ini adalah memperkukuh infrastruktur serta daya tarikan pelancongan negara bagi meningkatkan kemasukan pelancong, khususnya di Sabah dan Sarawak.

"Kalau kita lihat pelancongan itu adalah satu sektor yang penting untuk negara ini. Malaysia bergantung juga kepada pelancongan sebagai satu industri yang penting.

"Namun, jika melibatkan sektor pelancongan, manfaat subsidi itu akan dinikmati oleh pelancong, jadi mereka adalah kumpulan yang kita rasa sebenarnya tidak layak untuk mendapat subsidi daripada hasil negara.

"Masa kita buat BUDI95 dan BUDI Diesel, matlamatnya adalah untuk memberi subsidi kepada rakyat kita, bukan kepada rakyat asing. Jadi pelancong perlu membayar harga yang sepatutnya," katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Turun Padang BUDI Diesel @ Shell di sebuah stesen minyak di Jalan Sulaman di sini pada Ahad.

Sebelum itu, beliau diminta mengulas mengenai segelintir pengusaha sektor pelancongan yang mendakwa tidak menerima subsidi bagi menampung kos operasi tersebut.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, kerajaan akan memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur pelancongan termasuk kemudahan lapangan terbang, jaringan penerbangan serta usaha menarik lebih banyak syarikat penerbangan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

"Untuk sektor pelancongan, apa yang lebih penting ialah bagaimana kita membangunkan infrastruktur yang baik untuk memudahkan pelancong datang, terutamanya di Sabah dan Sarawak.

"Kita perlu lihat kepada pengukuhan infrastruktur seperti lapangan terbang dan usaha menarik lebih banyak syarikat penerbangan untuk datang. Lebih banyak jaringan akan memberi lebih banyak peluang kepada pelancong.

"Bila pilihan banyak, mereka boleh memanjangkan tempoh tinggal di negara ini, dan itu lebih menguntungkan ekonomi kita serta menjadikan Malaysia lebih menarik sebagai destinasi pelancongan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan memberi fokus kepada pembangunan sektor pelancongan melalui penambahbaikan infrastruktur sebagai keutamaan dan bukannya melalui pemberian subsidi.

"Itulah di mana kerajaan akan melihat untuk menggalakkan dan itu sebagai keutamaan kerajaan.

"Tapi kalau nak saya subsidi pelancong, saya rasa itu susahlah, kerana sebenarnya matlamat kita kalau kita nak beri subsidi, kita beri rakyat kita, bukan warga asing," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!