PUTRAJAYA - Bajet 2018 berjaya menangani lebih 80 peratus kebimbangan rakyat, termasuk kos hidup, kos menjalankan perniagaan, tabung pendidikan serta rumah mampu milik, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Ketua pasukan Bajet 2018 MoF, Mohd Hassan Ahmad, berkata semua kebimbangan dikumpul, sebahagian besarnya daripada saluran media sosial kerajaan, selain yang disalurkan dalam akaun twitter Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kerajaan mendengar keluhan rakyat, dan cuba menangani keemua masalah yang dihadapi rakyat Malaysia. Jika diteliti, jumlah peruntukan yang disediakan dalam Bajet 2018 merupakan jumlah yang paling terbesar pernah diberikan berbanding tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada media selepas taklimat khas Bajet  2018 di sini hari ini.

Beliau berkata Bajet 2018 yang dibentangkan Jumaat lepas merupakan ibu segala bajet, berdasarkan habuan yang disediakan untuk semua, daripada bayi sehingga orang dewasa.

Bertema ‘Memakmurkan Ekonomi Yang Inklusif, Mengimbang Keunggulan Duniawi dan Ukhrawi demi Mensejahtera Kehidupan Rakyat Menunju Aspirasi #TN50’, Bajet 2018 membabitkan peruntukan RM280.25 bilion, meningkat RM19.45 bilion berbanding RM260.80 bilion dalam Bajet 2017.

Beliau berkata kerajaan dapat melakukannya (menyediakan habuan kepada semua) hasil daripada kutipan cukai pendapatan yang lebih tinggi, cukai individu serta Cukai Barang dan Perkhidmatan.

“Hasil negara juga meningkat, susulan harga minyak mentah yang lebih tinggi, yang kini didagangkan melepasi US$60 setong.

“Namun, bajet disediakan semasa harga minyak mentah di sekitar US$50 setong, dan jika momentum positif ini berterusan dan kerajaan memperoleh lebih banyak hasil, ia mungkin disalurkan balik kepaaa rakyat dari segi infrastruktur,” katanya.

Mohd Hassan berkata kerajaan mendapati ramai rakyat menjangkakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan dinaikkan dalam bajet manakala penjawat awam mengharapkan bonus tiga bulan.

“Kerajaan tidak melakukannya. Apa yang diberi adalah berasaskan kapasiti dan yang lebih penting bertujuan memastikan negara kekal kukuh dan kompetitif ke arah merealisasikan negara berpendapatan tinggi menjelang 2020,” katanya.- Bernama