KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan mengarahkan sebuah kilang di sini supaya menarik balik semua tepung rangup yang dibungkus dengan kertas pembungkus kapur siling daripada pasaran.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata hasil siasatan mendapati kilang berkenaan telah tersilap menggunakan kertas pembungkus kapur siling untuk membungkus tepung rangup tersebut.

“Kementerian Kesihatan mengambil maklum isu yang tular di media sosial berhubung dakwaan sebuah premis menjual pisang goreng di Puchong, Selangor, dicampur dengan kapur siling bagi merangupkan makanan tersebut.

"Berhubung perkara ini, Kementerian Kesihatan melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan telah menjalankan siasatan terhadap premis menjual pisang goreng tersebut dan mendapati pihak kilang telah tersilap menggunakan kertas pembungkus kapur siling untuk membungkus tepung rangup berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa kementerian sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

Dr Noor Hisham berkata Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga telah mengambil tindakan ke atas premis tersebut kerana beroperasi tanpa lesen.

Sebelum ini, gambar sebuah premis menjual pisang goreng tular di media sosial dengan  dakwaan peniaga berkenaan menggunakan tepung bercampur kapur siling untuk merangupkan  makanan tersebut.

Orang ramai yang mempunyai kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat selain melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://www.facebook.com/bkkmhq. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.