SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik terkenal kerana kepetahannya berhujah, namun rupanya beliau juga mempunyai sesuatu yang ‘disorokkan’.

Tanpa disangka, beliau cukup mahir berbahasa isyarat. Buktinya, beliau secara bersahaja menjawab soalan seorang ibu yang mempunyai anak istimewa dengan menggunakan bahasa isyarat.

Jawapan beliau mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin yang menghadiri Program Bicara Minda bertajuk Malaysia Baharu & Pendidikan Negara di Dewan Karangkraf, seksyen 15, Shah Alam, tadi.

Ibu yang mempunyai anak orang kurang upaya (OKU) pekak, Amy Norzakiah berkata, di rumah beliau dan anaknya berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat.

Begitupun, agak malang apabila anaknya masuk ke sekolah dan menghadapi banyak halangan kerana di sekolah menggunakan Perkembangan Kod Tangan Bahasa Malaysia (KTBM).

“Jadi anak saya amat kecewa kerana kawan-kawan dan guru yang mengajar adalah normal dan masing-masing tidak mahir berbahasa isyarat.

“Sedangkan, anak saya mahir dengan struktur penggunaan bahasa isyarat. Pada saya, guru-guru perlulah mahir berbahasa isyarat supaya dapat berkomunikasi dengan kanak-kanak OKU pekak,” katanya sambil menggunakan khidmat juru bahasa isyarat.

Menurutnya, beliau mahu Kementerian Pendidikan (KPM) menyelaraskan bahasa isyarat supaya digunakan di sekolah-sekolah bagi pembangunan OKU pekak di masa akan datang.

Maszlee dalam ucapan balasnya mengatakan, KPM akan mengambil cakna dan peka berkaitan pendidikan OKU pekak ini.

“Pihak KPM akan mengambil pendekatan dan akan cuba menerapkan pendidikan yang bersifat inklusif.

“Golongan OKU jangan bimbang kerana dalam era Malaysia baharu ini, nasib OKU akan diperjuangkan,” katanya.