PHNOM PENH - Kemboja akan menghantar sekumpulan pembantu rumah untuk bekerja di Malaysia pada awal Jun selepas kedua-dua negara menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) pada 2015, lapor Khmer Times.

Menteri Buruh Kemboja, Ith Samheng, berkata dalam tiga pertemuan beliau dengan Menteri Sumber Manusia Malaysia, Datuk Seri Richard Riot, mereka membincangkan proses pengambilan, latihan dan penghantaran pekerja ke Malaysia secara selamat.

“Kami bersetuju untuk menetapkan tarikh penghantaran kumpulan pertama untuk bekerja di Malaysia pada 1 Jun,” katanya sambil menambah bahawa beliau akan bertemu menteri Malaysia sekali lagi di Kuala Lumpur pada awal Februari.

Samheng berkata jumlah pembantu rumah yang akan dihantar ke Malaysia pada Jun belum diketahui dan bergantung kepada keupayaan agensi pengambilan serta kepentingan awam.

“Kami akan mengetahui bilangan pembantu rumah yang tepat apabila dekat dengan tarikh tersebut. Sebelum menghantar mereka ke Malaysia, kami akan menjelaskan keadaan pekerjaan dan memberitahu mereka cara untuk sentiasa berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Mereka akan dilatih selama satu atau dua bulan sebelum berlepas ke Malaysia.

Pada Oktober 2011, kerajaan Kemboja telah mengenakan moratorium ke atas rakyatnya yang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia berikutan laporan perbuatan dera oleh majikan.

Sementara itu, Menteri Malaysia pada Selasa memaklumkan pemberita bahawa pekerja asing termasuk dari Kemboja akan dilindungi di bawah MoU.

“Kami akan memastikan bahawa kebajikan pekerja dari Kemboja dilindungi,” katanya.

Menurut Kementerian Sumber Manusia Malaysia, setakat 31 Disember tahun lepas, sejumlah 4,402 rakyat Kemboja bekerja secara sah di Malaysia.

Di bawah program pengambilan semula oleh Kementerian Dalam Negeri, sejumlah 3,588 rakyat Kemboja telah mendaftar dan sedang diproses oleh Jabatan Imigresen.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Diraja Kemboja untuk pekerja-pekerja ini. Menyentuh isu masalah sosial, mereka tidak pernah menimbulkan sebarang masalah kepada negara kita,” kata Riot.

Sementara itu, Kementerian Sumber Manusia berkata Malaysia berharap Kemboja akan bersetuju untuk menghantar pembantu rumah seawal 1 Mei.

"Butiran perjanjian akan dibincang semasa pertemuan kedua-dua menteri bulan depan," kata unit komunikasi korporat kementerian itu ketika dihubungi Bernama pada Rabu. – Bernama

 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :