rumah bakar
$entry.content.caption.value

KUANTAN - Seramai 120 orang daripada 26 buah keluarga tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Kampung Baru Cina Ketari dekat Bentong musnah dalam satu kebakaran, petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang, Zulfahmi Sutaji berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.55 petang tadi.

Katanya, 30 anggota dari Balai Bomba Bentong, Balai Bomba Karak serta bomba sukarela Perting dan Janda Baik dengan kekuatan lima buah jentera dikerahkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan berkenaan.

Kebakaran itu mengakibatkan 25 rumah papan setingkat dan dua tingkat musnah ekoran angin kuat ketika kejadian dan ditambah dengan cuaca panas terik.

"Rumah-rumah tersebut dibina berdekatan di antara satu sama lain dan ia terletak di belakang sebuah stesen minyak," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata kebakaran itu berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 7 petang tadi dan kesemua mangsa yang terlibat ditempatkan di dewan Sekolah Cina Ketari.

Zulfahmi berkata punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. - Bernama 


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.