“SAYA selalu pesan pada ibu bapa atau pelajar, jika anda ada masalah dengan sekolah, mohon hubungi pihak sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan jangan main ‘serang-serang’,” kata Hashim Anang, 54.

Hashim, pernah diberi kepercayaan sebagai Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam selama 9 tahun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19, Shah Alam selama 6 tahun.

Menurutnya, segala masalah boleh diselesaikan jika melalui saluran yang betul.

“Maksud saya di sini, jangan serang sekolah kerana kita ada prosedur tertentu.

“Ibu bapa yang ada masalah, boleh datang ke sekolah. Jumpa pengetua atau guru besar dan bukan terus serang guru tertentu sahaja,” katanya.

Beliau yang berpengalaman selama 15 tahun sebagai YDP PIBG berkata, jika mereka tiada di sekolah, ibu bapa boleh berjumpa dengan guru penolong kanan ataupun kaunselor.

Menurut Hashim, masih ramai ibu bapa yang gagal hadir diri ke mesyuarat PIBG dan itu antara faktor mereka tidak tahu tindakan yang harus dilakukan jika berdepan masalah.

“Ketidakhadiran ibu bapa dalam mesyuarat PIBG mendukacitakan. Jarang sekali untuk nampak dewan penuh. Kami faham, mungkin ibu bapa sibuk dengan komitmen masing-masing, sebab itu sukar menghadiri mesyuarat ini.

“Cuma saya ingin nasihatkan, tahun akan datang, mohon ibu bapa hadir ke mesyuarat PIBG biarpun setahun sekali. Datanglah ke sekolah dan jumpa guru besar serta guru kelas. Itu yang terbaik kerana melalui perjumpaan itu, ibu bapa dapat tahu bagaimana sikap anak-anak mereka bila berada di sekolah,” katanya.

Hashim turut berkongsi pengalamannya mengenai pelbagai isu membabitkan ibu bapa, pelajar dan sekolah dapat diselesaikan secara muafakat.

“Saya masih ingat, ada satu kejadian melibatkan seorang murid yang patah beberapa gigi akibat terjatuh dalam kelas.

“Ibu kepada murid yang cedera tadi datang ke rumah dan mahu saman keluarga kepada murid yang dikatakan telah menolak anaknya hingga cedera. Ibu berkenaan menunjukkan bil hospital sebanyak RM3,500,” katanya.

Beliau kemudiannya bertindak menghubungi bapa murid yang didakwa.

Katanya, si bapa murid itu tidak mampu membayar jumlah bil tersebut kerana hanya kerja kilang.

“Esoknya, saya beritahu ibu murid yang cedera dan bagi tahu PIBG akan buat kutipan derma untuk bayar kos rawatan anak dan Alhamdulillah, kes selesai,” ujarnya.   

Dalam isu merotan murid pula, Hashim berkata, memang ada prosedur sekolah dan garis panduan disediakan untuk merotan.

“Saya pernah dihubungi guru disiplin sekolah meminta tolong supaya jadi orang tengah dan hubungi ibu bapa murid untuk minta izin merotan anaknya yang ada masalah disiplin.

“Alhamdulillah, ibu bapa murid tersebut beri keizinan asalkan mengikut prosedur ditetapkan. Tapi ini cara dulu, sekarang ini mungkin dah lain,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya menyelesaikan masalah secara baik dengan pihak sekolah kerana mereka sedia  mendengar dan membantu.

Hashim juga mengingatkan ibu bapa bahawa ada dalam kalangan anak mereka yang tidak jujur memberi maklumat diri sekali gus menyukarkan pengurusan sekolah jika berlaku kecemasan.

“Ibu bapa yang ada anak sekolah menengah, tolong pantau anak masing-masing kerana kita dapati, ada antaranya beri data atau dokumen palsu berkaitan latar belakang diri.

“Alamat, nombor telefon, kebanyakannya palsu dan ini menyukarkan pihak sekolah menghubungi keluarga jika berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN : Mak bekal rotan: Erma Fatima] 

[ARTIKEL BERKAITAN : Orang lama tidak kisah anak dihukum di sekolah]