KUALA LUMPUR - Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM), Firdaus Wong Wai Hung mempersoalkan kelantangan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy yang secara terang-terangan mempertikaikan keputusan kerajaan membenarkan Dr Zakir Naik berada di Malaysia.

Menurutnya, keputusan kerajaan membenarkan pendakwah dari India itu menetap di Malaysia harus dihormati dan tidak perlu dipertikaikan sama sekali.

Tambah pendakwah bebas itu, Zakir Naik berhak berada di Malaysia selagi tidak melakukan jenayah seperti disuarakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir, sebelum ini.

"Beliau (Zakir Naik) diberi kebenaran untuk duduk dalam negara kita. Bila kerajaan benarkan seseorang duduk dalam negara kita, apa hak kita pula untuk halau orang itu?

"Bila kerajaan Malaysia tetapkan sebegitu, tiada siapa berhak mempertikaikannya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis mendesak tindakan terhadap Ramasamy di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini, hari ini.

Tambah Firdaus Wong, tiada masalah untuk Zakir Naik terus berada di Malaysia kerana tidak melakukan sebarang jenayah malah beliau sebelum ini juga pernah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan pada 2013.

"Selain laporan polis berhubung kenyataan Ramasamy, kita juga minta polis siasat artikel dalam satu blog mengaitkan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (CEC) DAP itu dengan kegiatan pengganas.

"Ini menggusarkan apabila ada pemimpin negara dikaitkan dengan kumpulan pengganas. Jadi, kami minta polis melakukan siasatan terhadap dakwaan blog tersebut," ujarnya.