PARIT BUNTAR - Kerajaan Harapan bersedia menyokong cadangan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) membawa usul tergempar mengenai situasi umat Islam ditindas di Palestin, Rohingya dan Syria ke dalam persidangan Parlimen yang sedang berlangsung ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, susulan cadangan Mapim itu, kerajaan persekutuan di bawah Harapan sememangnya prihatin kepada isu-isu tersebut, namun inisiatif membawa usul tergempar dalam sidang Parlimen perlu mengikut peraturan Dewan Rakyat.

Menurutnya, terdapat tiga kriteria perlu dipenuhi sebelum sesuatu usul tergempar dibawa ke dalam persidangan Parlimen iaitu haruslah mempunyai kepentingan awam, isu dibawa perlu disegerakan dan mempunyai keperluan mendesak.

“Berdasarkan kriteria-kriteria itu, saya melihat isu umat Islam ditindas di Palestin, Syria dan Rohingya memang merupakan satu keperluan mendesak dan kerajaan Malaysia perlu menyegerakan usul mengemukakan pendirian berkenaan isu itu kepada dunia.

“Saya fikir tidak susah untuk kita menerima cadangan Mapim dan membawanya ke persidangan Parlimen sebagai usul tergempar,” katanya kepada media pada majlis penyerahan sumbangan kepada 40 fakir miskin di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang di sini hari ini.

Turut hadir Exco Kerajaan Negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim.

Mujahid berkata, hanya selepas usul tergempar dibincangkan dalam persidangan Parlimen, barulah kerajaan Malaysia akan mengeluarkan kertas putih bagi menyatakan pendirian berhubung isu penindasan umat Islam tersebut kepada dunia.

“Dalam kertas putih itu juga kerajaan akan mengutuk tindakan pihak menindas umat Islam di negara-negara tersebut sehingga menyebabkan keadaan semakin meruncing ketika ini.

“Kita sentiasa meraikan cadangan Mapim dalam isu berkaitan penindasan umat Islam dan akan terus prihatin terhadap isu-isu berkaitan pada masa hadapan,” katanya.

Terdahulu, Mapim menggesa sidang Parlimen sedang berlangsung ketika ini segera mengusulkan pendirian Malaysia berhubung situasi di Gaza, Kashmir dan keadaan pelarian Rohingya di Myanmar dan Bangladesh.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, Mapim turut menggesa sidang Parlimen memberi waktu khas membincangkan isu-isu itu dan meluluskan satu resolusi untuk dihantar kepada agensi antarabangsa berkaitan.

Menurutnya, Mapim turut menggesa Malaysia mengambil inisiatif  berperanan menyelesaikan isu-isu berkaitan dan mengeluarkan kenyataan rasmi untuk disiarkan kepada media dunia.