KOTA BHARU - Demi amanah dan wasiat bapanya, usaha mengembalikan semula legasi kegemilangan Masjid Sembulan, Kota Kinabalu, Sabah sebagai pusat tumpuan ibadah seperti suatu masa dahulu kini giat direalisasikan.

Sehubungan itu, pasukan Rumah Ngaji Kelantan hadir beramai-ramai menyokong pengembangan usaha mengaji al-Quran pada 8 November lalu, diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Marhaini Yusoff dan Pengurus Sinar Harian Kelantan, Surena Md Noor.

Kesepakatan itu membawa kewujudan Rumah Ngaji Masjid Sembulan.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Rumah-rumah Ngaji Kelantan, Datin Norhani Affandi; Timbalan Ketua Rumah Ngaji PDK USM, Dr Nik Norliza Nik Hassan dan Penggerak Rumah Ngaji Beach Lodge Bachok, Dr Sharifah Mastura Syed Mohamad serta wakil Rumah Ngaji  Sabah, Azlinah Awang serta Pengerusi AJK Masjid Sembulan, Nordin Palah.

Cetusan idea yang digembleng anak-anak bekas mufti Sabah yang pertama, Hasbullah Yusoff kini tercapai apabila anak bongsunya, Wan Aminah Hasbullah, yang juga Ketua Penggerak Rumah Ngaji Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) USM, membawa usaha itu ‘terbang’ ke Masjid Sembulan.

Ingat pesan arwah abuya

Wan Aminah berkata, melihat kejayaan Rumah Ngaji PDK USM Kubang Kerian, dia mula memasang angan-angan dan teringat pesanan arwah abuya (panggilan untuk arwah bapanya) yang mahu melihat Masjid Sembulan di Sabah sentiasa diimarahkan.

Ahyat dan Wan Aminah menunjukkan gambar Allahyarham Hasbullah.

“Lagipun, saya dilahirkan di Sabah dan Sembulan adalah tempat saya membesar, rasa untuk mengembangkan syiar Islam dengan pergerakan Rumah Ngaji, akhirnya saya realisasikan setelah bertahun lamanya Masjid Sembulan sunyi,” katanya gembira.

Menggerakkan usaha mengimarahkan masjid itu, anak keempat Allahyarham, Ahyat mengakui tahu mengenai perkara itu kerana sering mengikuti arwah bapanya.

“Masjid ini suatu masa dahulu hanyalah sebuah madrasah yang menjadi tumpuan ramai dan tempat solat Jumaat kerana ketika itu hanya terdapat satu masjid sahaja di kawasan berkenaan.

“Langkah abuya dalam bidang agama di Sabah bermula apabila beliau aktif politik dan setelah berbincang dengan beberapa ulama lain di Kelantan, beliau mencabar diri mengembangkan Islam di Sabah,” katanya.

Katanya, arwah bapanya itu menyusun semula pengurusan Masjid Sembulan dengan menyediakan sistem pengajian al-Quran yang dikongsi bersama Datuk Seri Paduka Haji Awang Umar Pehin Udana Khatib Haji Awang Rendah dari Brunei dan diajar pedagang batik dari Indonesia.

Tokoh ulama pertama Kelantan

Kata Ahyat, arwah bapanya, ulama pertama Kelantan dikatakan mengembangkan Islam menerusi solat Jumaat di Masjid Sembulan, selain membuka kelas pengajian al-Quran, malah sekolah agama juga disediakan sehingga beliau dilantik menjadi imam masjid, seterusnya mufti pertama di Sabah.

“Selepas siap Masjid Negeri, Masjid Sembulan yang boleh memuatkan 500 jemaah tidak lagi dibolehkan untuk solat Jumaat kerana jarak antara masjid itu dengan Masjid Negeri hanyalah 500 meter dan tumpuan hanya diberikan kepada Masjid Negeri sahaja ketika itu.

Bersama tokoh pejuang Islam Sabah, Datuk Mursidi Nambi, AJK Masjid Sembulan dan rombongan Rumah Ngaji dari Kelantan.

“Namun, kini disebabkan Masjid Negeri mengalami kesesakan jemaah, ahli jawatankuasa memohon agar Masjid Sembulan dibenarkan solat Jumaat semula.

"Maka, selepas 40 tahun, alhamdulillah akhirnya azan Jumaat kembali bergema,” katanya.

Sementara itu, Wan Aminah berkata, kira-kira 16 tahun berjuang di Kota Kinabalu, Hasbullah meninggal dunia pada 12 Oktober 1989 dan pada majlis pembukaan Rumah Ngaji  Masjid Sembulan lalu, majlis tahlil diadakan untuk arwah dan Imam Pandin (yang memberikan dana), Allahyarham Datuk Mohd Kasim Hashim.

One stop centre aktiviti agama di Sabah

Kata Wan Aminah, antara Rumah Ngaji yang ada di Sabah termasuk Rumah Ngaji@Hikmah Training Centre, Rumah Ngaji@Masjid Tun Ahmadshah Inanam, Rumah Ngaji@SK Kitobu dan Rumah Ngaji Sumayyah @ Sipitang.

“Kita berharap, dengan adanya Rumah Ngaji Sembulan ini, ia bukan sahaja dapat mengembalikan kegemilangan Masjid Sembulan, malah kita akan berusaha mencapai tahap  sebagai pusat penyebaran Islam di Sabah atau one stop centre untuk kegiatan agama di Sabah.

“Selain perasmian Rumah Ngaji Masjid Sembulan, kempen ‘Savings Families’ seperti Rumah Ngaji lain di Semenanjung Malaysia turut diadakan di situ dengan seribu harapan membolehkan konsep ‘Baca, Faham dan Amal’ al-Quran disebar luaskan,” katanya.