SHAH ALAM - Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) menyatakan kebimbangannya terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sekiranya ratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) dilaksanakan di negara ini.

Presidennya, Dr Mohamad Saleeh Rahamad berkata, apabila ICERD diterima, akan terbukalah ruang yang mengancam kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan yang bakal dituduh sebagai diskriminasi terhadap bahasa lain.

“Pena tidak bersetuju dengan ratifikasi ICERD kerana bimbang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 dan dalam sistem pendidikan akan terancam.

“Sedangkan tanpa ICERD pun bahasa Melayu sering dihimpit oleh permainan politik perkauman dan dominasi komersialisme, apatah lagi setelah ICERD diratifikasi. Kelak bahasa Melayu akan menjadi bahan tawar-menawar dalam kancah politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy memberi jaminan bahawa usaha meratifikasi ICERD tidak akan membelakangi Majlis Raja-Raja dan orang Melayu.

Katanya, perkara tersebut sebaliknya akan dibuka kepada perbincangan bagi mengetahui pendapat dan isi hati masyarakat.

Sementara itu, Mohamad Saleeh berkata, Waytha Moorthy tidak sepatutnya mendahului Perdana Menteri dalam memberi kenyataan atau jaminan bahawa ICERD tidak akan membelakangi Majlis Raja-Raja dan orang Melayu.

“Jawatan beliau tidak ada kapasiti untuk bercakap bagi pihak kerajaan di mana Perdana Menteri sendiri sudah menyatakan bahawa perundingan dengan pihak yang berkepentingan akan dibuat, serta beliau menjamin keputusannya nanti tidak akan mengetepikan kebimbangan orang Melayu.

“Maknanya kerajaan belum berbincang tentang hal ini, termasuk perinciannya. Senator Waytha Moorthy tidak boleh mendahului Perdana Menteri,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, walau sesiapa pun yang memberikan jaminan seumpama itu, ICERD tetap tidak wajar diratifikasi oleh Malaysia.

“Ratifikasi hanya akan membuka ruang untuk langkah susulan sehingga Perlembagaan pun boleh dipinda nanti.

”Malaysia tidak perlu akan ICERD untuk menjadi negara yang adil kerana dalam keadaan sedia ada pun keistimewaan kepada bangsa bukan Melayu atau bukan bumiputera tetap diberikan, malahan lebih daripada yang dinikmati oleh golongan itu di negara lain,” ujarnya.