IPOH - Perkara yang berkaitan perlembagaan, menyentuh isu sensitiviti kaum dan agama perlu dibincangkan secara mendalam antara Pakatan Harapan sebelum diumum kepada masyarakat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah itu bagi mengelak reaksi yang pelbagai hingga boleh mencalarkan imej pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, dalam isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) contohnya, perkara itu sensitif dalam kalangan beberapa pihak dalam negara.

"Sekiranya kerajaan tidak membuat keputusan lagi atau selagi belum ada keputusan rasmi, janganlah buat sebarang pengumuman, itu akan menyebabkan imej kerajaan sendiri tercalar.

"Dari segi pengiktirafan global, ya ia mungkin dilihat satu yang perlu dipertimbangkan, tetapi bagi saya kita beri keutamaan kepada perkara yang perlu disegarakan dahulu," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Seminar Pemerkasaan Integriti Negeri Perak anjuran Institut Integriti Malaysia dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak di Hotel Kinta Riverfront, hari ini.

Beliau berkata, sebagai kerajaan, ada beberapa disiplin tertentu yang perlu dipatuhi bagi mengelak isu sensitif diperbesarkan.

"Orang macam saya yang datang dari aktivis, kita biasa buat tuntutan yang pelbagai, tetapi sekali kita dalam kerajaan, ada disiplin yang perlu dipatuhi.

"Isu sensitif perlu dibincangkan dalam Pakatan, kemukakan kepada Kabinet lepas itu barulah umum kepada masyarakat," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau meminta kerajaan menyegerakan garis panduan deklarasi dana politik kalangan ahli politik negara ini.

Menurutnya, perkara itu penting untuk memperlihatkan ketelusan kerajaan kepada rakyat memandangkan ketika ini, tiada mekanisme  yang jelas berhubung perkara itu.

"Perkara begini perlukan penelitian lebih mendalam supaya niat orang yang memberi sumbangan membantu rakyat dapat disampaikan, pada waktu sama individu yang menjalankan tugas politik itu tidak terperangkap kerana mungkin dianggap satu kesalahan," katanya.