IPOH - Rakyat diingatkan untuk menghayati semangat perpaduan yang terkandung di sebalik penggubalan Perlembagaan Madinah dan falsafah penyatuan dalam Perlembagaan Negara.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, semangat perpaduan itu perlu diselami ketika negara menyambut ulang tahun kemerdekaan, memperingati tarikh penubuhan sesebuah negara dan menziarahi peristiwa Hijrah dalam hasrat membangunkan negara yang aman lagi makmur.

Menurut baginda, Perlembagaan Madinah memberikan kebebasan beragama, penganut-penganut agama lain tidak diganggu mengamalkan fahaman masing-masing dalam semangat yang memahami bahawa dunia ciptaan Ilahi ini diwujudkan dengan kelainan dan kepelbagaian.

Perlembagaan Merdeka pula digubal berasaskan realiti komposisi rakyat yang pelbagai yang mana setiap seorangnya diberikan jaminan keadilan, perlindungan, dan hak.

"Sesebuah negara terbentuk, lalu dibangunkan kerana adanya titik pertemuan hasrat dan matlamat dalam kalangan ummah untuk bernegara.

"Negara ini dibentuk dan dibangunkan dengan memberikan jaminan keadilan, perlindungan dan hak kepada setiap rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum, mengamalkan pelbagai budaya, menguasai pelbagai bahasa, dan menganut pelbagai agama.

"Perpaduan sesama umat Islam wajib diperkukuh, perpaduan sesama rakyat pelbagai agama dan kaum pula wajib disuburkan dalam hasrat membina kehidupan yang damai lagi harmoni," titah baginda sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Perak 1440/2018 di Pusat Konvensyen Ipoh, hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Hadir sama, Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Sultan Nazrin bertitah, umat Islam harus  memahami antara tuntutan keadilan dan sikap bertoleransi.

Kata baginda, toleransi dimaksudkan tidak bererti umat Islam diperlukan mengakui doktrin keyakinan agama lain, sebaliknya toleransi dimaksudkan oleh Islam menyentuh aspek muamalah seharian iaitu perkara-perkara berkaitan urusan dunia dan kehidupan manusia di samping mengamalkan akhlak yang baik ketika berkomunikasi dengan penganut agama lain.

"Islam mengutamakan konsep toleransi dan hubungan harmoni dengan penganut agama lain juga menganjurkan umatnya bersifat terbuka, memberi fokus kepada titik-titik persefahaman dan mengelak pertelingkahan," kata baginda.

Sultan Nazrin turut mengingatkan, sejarah menunjukkan bahawa pemerintahan Islam tidak menghalang bukan Islam untuk tinggal bersama.

Jelas baginda, Islam tidak mengizinkan dilakukan ketidakadilan semata-mata atas dasar perbezaan agama,  kaum,  warna kulit dan keturunan.  

"Kewujudan bersama, secara aman dan damai dalam kalangan umat di serata dunia ini dan rakyat di negara ini merupakan penentuan kepada keamanan dunia dan keharmonian hidup sesebuah negara.