SHAH ALAM - Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh menyarankan agar semua pihak menyemak secara berkala keselamatan dan kebajikan kanak-kanak di pusat tahfiz.

Hannah menerusi catatan ringkas di Twitter peribadinya berkata, beliau telah pun berjumpa beberapa mangsa kanak-kanak yang diliwat di pusat tahfiz dan memohon semua pihak termasuk majlis agama, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ibu bapa memainkan peranan masing-masing dalam mengatasi isu berkenaan.

"Saya telah berjumpa beberapa mangsa kanak-kanak yang diliwat di pusat tahfiz yang lain dan semua pihak termasuk majlis agama, PBT dan ibubapa perlu menyemak secara berkala keselamatan dan kebajikan kanak-kanak," katanya hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Liwat 9 pelajar, pengetua tahfiz ditahan]

Sebelum ini, Seorang guru agama, yang merupakan pengetua sebuah pusat tahfiz di Kepong, ditahan polis kerana dipercayai meliwat sembilan pelajar pusat tahfiz berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zainuddin Yaacop berkata suspek berusia 30 tahun itu ditahan sehari selepas polis menerima laporan kes berkenaan yang dibuat oleh seorang guru lelaki pusat tahfiz berkenaan pada 13 September.

Beliau berkata perbuatan terkutuk pengetua tahfiz itu melibatkan pelajar berusia antara lingkungan 11 hingga 16 tahun.