SUBANG JAYA - Malaysia mempunyai peluang dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang bagi melaksana reformasi yang boleh memampankan ekonomi sebelum pemulihan ekonomi global, kata beberapa ahli ekonomi.

Profesor Ekonomi Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Dr Yeah Kim Leng berkata, prospek ekonomi negara dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang kelihatan positif.

"Kita telah melihat peningkatan dalam eksport yang telah melepasi pertumbuhan tranche. Ini adalah peluang untuk meneroka pemulihan ekonomi kitaran bagi melaksana reformasi struktur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada seminar ekonomi ‘Program Reformasi Untuk Pembangunan Mampan Dinamik’ semalam.

Seminar berkenaan dianjurkan Universiti Sunway dan Persatuan Ekonomi Malaysia.

Mengenai Bajet 2018, Yeah berkata, berikutan ekonomi yang semakin baik, pelbagai inisiatif reformasi struktur perlu diperkukuh, terutama dalam meningkatkan paras pendapatan dan gaji.

"Kita melihat susulan positif ke atas inisiatif seperti Revolusi Perindustrian Keempat dan ekonomi digital dan bajet itu turut memasukkan kajian pertengahan penggal Rancangan Malaysia Ke-11.

“Inisiatif terbabit perlu diperkukuh dalam jangka panjang di samping menangani secara konsisten beberapa kelemahannya," kata Yeah.

Kerajaan juga perlu mengukuhkan keyakinan sektor swasta, terutama dalam kalangan pelabur asing, mengenai keupayaannya menangani kebimbangan rakyat  dan pada masa sama berupaya memenuhi sasaran defisit fiskal, katanya.

"Kita perlu merubah ekonomi daripada berasaskan penggunaan kepada lebih berasaskan pelaburan dan kerajaan perlu menimbang semula beberapa dasar perbelanjaan agar lebih mampan dalam jangka panjang," katanya.

Menurutnya, walaupun rakyat menyambut baik Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), jumlah penerima perlu dikurangkan dengan meningkatkan paras pendapatan dan menyediakan lebih banyak kerja.

Sementara itu, pakar ekonomi terkemuka, Tan Sri Kamal Salih berkata, kerajaan perlu mempertimbang semula strateginya menangani keterangkuman ekonomi, ketidaksamaan dan perbezaan pendapatan.

Ketika ini, katanya, masih wujud jurang pendapatan yang meluas antara kumpulan berpendapatan 10 peratus paling kaya dan 40 peratus terbawah.

Semasa perbincangan panel sebelum itu, Kamal berkata, penerusan pengagihan tunai seperti BR1M serta langkah lain berkaitan subsidi bukan cara tepat untuk menggalak keterangkuman dan menangani ketidaksamaan ekonomi.

"Bantuan tunai tahunan BR1M mempunyai kesan kecil sebanyak 0.04 peratus daripada pengagihan pendapatan negara berbanding pengenalan  gaji minimum, yang akan mempunyai kesan penting pada empat peratus," kata Kamal.

Penerusan program BR1M adalah tidak mampan dari segi ekonomi kerana ia disokong kutipan cukai barang dan perkhidmatan bagi menangani sebarang potensi defisit, katanya.

Menurutnya, pendekatan lebih baik bagi menghapuskan ketidaksamaan ialah menambah baik pengagihan pendapatan dalam kalangan rakyat, tanpa mengira dimensi dan parameter yang digunakan, seperti kaum dan jantina.- Bernama