KUALA LUMPUR - Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menggesa kerajaan untuk segera mencari alternatif kepada larangan ke atas barangan elektronik tertentu dibawa masuk ke dalam pesawat.

Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) baru-baru ini melarang barangan elektronik besar seperti komputer riba dan tablet dibawa ke dalam pesawat tertentu yang berlepas dari Timur Tengah dan Afrika Utara.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah dan Ketua Pegwai Eksekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata, tindakan tersebut bukanlah penyelesaian yang boleh diterima bagi mengurangkan ancaman.

"Walaupun dalam jangka pendek, adalah sukar untuk mengetahui keberkesanannya, tetapi kecelaruan komersil yang diwujudkan mereka adalah parah," katanya.

Beliau menggesa kerajaan untuk bekerjasama dengan industri itu untuk mencari jalan agar penerbangan terus selamat tanpa perlu memisahkan penumpang daripada barangan elektronik mereka.

"Kenapa AS dan UK tidak mempunyai senarai lapangan terbang yang sama.

"Bagaimana boleh komputer riba selamat dalam kabin sesetengah penerbangan, manakala yang lainnya tidak, termasuk penerbangan yang berlepas dari lapangan terbang yang sama?

"Tidak adakah cara untuk mengimbas peralatan elektronik secara berkesan," katanya dengan menambah pertanyaan itu sudah pasti akan dikemukakan penumpang.

de Juniac berkata, situasi semasa tidak boleh diterima dan tidak akan menjamin keyakinan industri atau penumpang.

Selain menggesa cara lebih baik dicari, beliau mahu pengkongsian maklumat dan penyelarasan lebih baik mengenai langkah keselamatan di kalangan kerajaan dan industri berkenaan.

"Walaupun kerajaan mempunyai tanggungjawab penting untuk keselamatan, kita berkongsi keutamaan agar penumpang, kru dan pesawat selamat.

"Usaha itu perlu dikongsi di kalangan kerajaan dan industri kerana ia satu-satunya cara menghalang pengganas menghampiri lapangan terbang dan juga pesawat," tambahnya. - Bernama