PUTRAJAYA -  Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dijangka mengadakan pertemuan dengan pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) minggu hadapan bagi membincangkan mekanisma pembayaran skim caruman khas kepada suri rumah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, perjumpaan itu adalah untuk  membincangkan mengenai pelan pembangunan  tindakan untuk memberi caruman KWSP kepada suri rumah,  mekanisma caruman itu juga dijangka dibincangkan.

"Siapa yang layak, kaedah caruman dan sebagainya akan dibincangkan  bagi melestarikan agenda ini,"katanya ketika sidang media pertamanya di kementerian itu hari ini.

Caruman pada kadar dua peratus akan disumbangkan daripada caruman KWSP suami serta sumbangan RM50 daripada kerajaan pada setiap bulan kepada suri rumah antara janji Pakatan Harapan dalam manifesto mereka.

Terdahulu, Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri mengetik kad perakam waktu jam 9 pagi bagi memulakan tugasnya secara rasmi.

Ketibaannya jam 8.45 pagi disambut oleh seluruh warga kementerian.

Beliau  turut bertemu bekas Menteri KPWKM, Datuk Seri Rohani Abdul Karim untuk  serahan tugas.