SHAH ALAM - Kemenangan mana-mana pemimpin dalam pemilihan PKR dengan membeli undi sememangnya tidak bermakna.

Calon Majlis Pimpiman Pusat (MPP), Datuk Rashid Hasnon berkata kenyataan semua ahli parti tidak boleh menerima amalan tersebut meskipun sudah menjadi kerajaan.

"Kenyataan keras Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa pembeli undi dalam pemilihan parti sebagai haprak syaitan wajar diambil berat.

"Tidak ada ertinya seseorang itu menang dalam pemilihan parti tetapi akhirnya membawa kekalahan parti dalam PRU kerana rakyat membenci," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, calon Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli mendakwa politik wang yang berlaku dalam pemilihan parti itu semakin membimbangkan.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Politik wang semakin membimbangkan kata Rafizi]

Dalam pada itu, Rashid yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata pihaknya percaya mana-mana pemimpin yang mengamalkan politik wang akan ditolak.

"Kita sedar bahawa perbuatan membeli undi itu adalah kerja parti yang dikalahkan dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

"Rakyat tidak bodoh. Anggota parti juga tidak bodoh. Kita dididik untuk membenci politik wang dalam apa juga keadaan dan saya percaya pemimpin yang menggunakan wang dan tawaran akan ditolak oleh anggota parti," katanya.

Tegasnya, meskipun pemilihan parti melibatkan belanja namun ia bukan platform membeli undi.

"Sistem satu undi satu ahli adalah sistem terbaik untuk mengurangkan dan menghapuskan terus politik wang.

"Mereka yang mempunyai duit bertimbun pun akan berfikir dua kali untuk melaburkan wang kerana ahli yang perlu dibeli terlalu ramai. Semakin ramai ahli semakin mahal dan sukar untuk dibeli," katanya.

Beliau sempat merayu agar semua pihak mengekalkan pemilihan parti sebagai wadah untuk menyumbang idea dan gagasan demi parti, rakyat serta negara.

"Sebarang bentuk kecurangan wajar dilaporkan langsung kepada JPP dan jawatankuasa disiplin wajib bertindak segera untuk menanganinya. Keduanya harus dilihat bebas dan adil," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN:  Anwar akan tanya Rafizi berhubung pendedahan politik wang]