SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) menegaskan urusan pembelian tanah berkeluasan 22.5 hektar daripada kerajaan bernilai RM2 bilion adalah berlandaskan prinsip urus niaga telus dan dibeli pada harga wajar yang ditentukan oleh jurunilai harta tanah bebas.

Berdasarkan kenyataan BNM, urusan pembelian tanah berkenaan mematuhi semua keperluan tadbir urus dan undang-undang berkenaan yang berkaitan dengan BNM.

"Pihak BNM sentiasa telus berhubung dengan pembelian tanah ini. Sehubungan dengan itu, BNM telah menyerahkan maklumat komprehensif mengenai pembelian tanah ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tujuan kajian bebas dan menyeluruh," menurut bank pusat itu.

Pada 4 Januari lalu, BNM dilaporkan membeli sebidang tanah berkeluasan 22.5 hektar daripada kerajaan bernilai RM2 bilion.

Tanah itu dirancang untuk dibangunkan sebagai sebuah hab pendidikan kewangan terdiri daripada penempatan semula Universiti Kewangan Islam Global (INCEIF) dan Akademi Penyelidikan Shariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam (ISRA), selain pembangunan kemudahan latihan serta pendidikan masa depan.

Pembelian berkenaan dibuat tidak lama selepas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada 27 Disember lalu mengumumkan ia sudah membuat bayaran akhir AS$600 juta kepada International Petroleum Investment Co (IPIC), sebelum tarikh akhir 31 Disember 2017.

Terdapat pertikaian bahawa adalah sesuatu yang jarang berlaku bagi sebuah agensi kerajaan membeli tanah daripada kerajaan persekutuan, sambil menambah bahawa urus niaga berkenaan dijalankan mengikut harga pasaran.