KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan kontroversi yang diburu, Jho Low didesak kembali ke tanah air untuk memberi penerangan berhubung pemilikan kapal persiaran mewah, The Equanimity yang didakwa dibeli dengan menggunakan wang penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Gesaan itu dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta Jho Low bertanggungjawab mengikut lunas undang-undang untuk membuktikan bahawa pembelian kapal mewah itu tidak dibuat secara haram seperti didakwa.

“Berhubung rampasan kapal mewah The Equanimity, semua perkara wajar dilakukan berlandaskan undang-undang, kerana tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi kedaulatan undang-undang.

“Berkaitan Jho Low saya tak mahu cakap apa-apa, terserah kepada dia sebab saya tak terlibat dengan kapal mewah berkenaan.

Najib ketika ditanya adakah Jho Low perlu ditampilkan menjelaskan status pemilikan The Equanimity berkenaan.

Ahli Parlimen Pekan itu menyarankan sekiranya benar wujud penyelewengan, Jho Low wajar bertanggungjawab.

“Jika pembelian kapal mewah itu menyalahi undang-undang, dia (Jho Low) harus bertanggungjawab untuk itu,ini pendirian saya,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: KJ cabar Jho Low balik Malaysia]

Terdahulu, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low bertegas bahawa tindakan kerajaan menyita kapal layar Equanimity berhubung skandal penyelewengan dana 1MDB sebagai tidak sah.

Kenyataan Jho Low itu dibuat menerusi peguamnya yang menuduh bahawa tindakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu sebagai 'merampas' prosiding undang-undang negara lain selain menyelar kenyataan kerajaan yang mahu menjualnya secepat mungkin bagi mengelak penyusutan nilai.

Laporan itu menyebut bahawa kenyataan peguam Jho Low itu sebagai maklum balas terhadap kenyataan Dr Mahathir, yang menegaskan bahawa pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Indonesia sependapat dengan Malaysia bahawa Equanimity milik Jho Low dibeli menggunakan 'duit rakyat Malaysia'.

Jho Low menerusi peguamnya menuduh tindakan itu sebagai 'perbicaraan oleh media' di bawah pentadbiran Dr Mahathir dan dilihat memutar belit kenyataan Jabatan Kehakiman AS (DOJ) yang tidak terbabit dalam rampasan berkenaan.

Selain itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar  mencabar Jho Low supaya pulang ke Malaysia dan bersemuka dengan pihak berkuasa.